Berita

BN utamakan kesihatan PATI, abai kesihatan rakyat Sabah: Jimmy Wong Sze Phin

BN utamakan kesihatan PATI, abai kesihatan rakyat Sabah: Jimmy Wong Sze Phin

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap tidak prihatin kepada rakyat Sabah apabila Parlimen semalam didedahkan dengan isu kekurangan ubat yang berlarutan, doktor pakar dan peralatan rawatan di pusat kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri itu.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin ketika membahaskan ucapan titah Yang di-Pertuan Agong, masalah kekurangan peralatan perubatan dan bekalan ubat-ubatan berlaku hampir setiap tahun di negeri itu.

“Apa yang berlaku, ubat-ubatan di Sabah bukan saja digunakan untuk orang Malaysia, tetapi juga oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” tegas beliau.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mendedahkan bahawa kebanjiran PATI di Sabah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung hutang mereka kerana gagal menjelaskan bayaran rawatan di hospital kerajaan.

Mengenai kekurangan doktor dan doktor pakar, beliau menggesa kerajaan agar menyelesaikan masalah itu dengan segera dan tidak memandang remeh masalah itu.

“Masalah kekurangan doktor dan doktor pakar bukan sahaja di di Kota Kinabalu, tetapi membabitkan daerah lain seperti Sandakan dan Tawau. Begitu juga dengan daerah yang lebih kecil seperti Lahad Datu, Ranau, Keningau dan Beluran,” katanya.

Beliau juga kecewa dan sedih apabila memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa hanya ada sebuah mesin radioterapi disediakan kerajaan untuk merawat pesakit kanser di negeri itu.

“Sampai sekarang hanya ada satu mesin radioterapi di Sabah untuk merawat pesakit kanser sedangkan negeri Sabah mempunyai kira-kira 2.7 juta penduduk. Kalau setiap 300,000 orang penduduk perlukan sebuah mesin, ini bermakna Sabah mesti mempunyai sekurang-kurangnya sembilan mesin radioterapi,” ujar beliau.

Ketika ditemui petang semalam, Jimmy berkata, ramai rakyat Sabah terpaksa mendapatkan rawatan di negeri lain termasuk Sarawak dan Semenanjung untuk rawatan radioterapi.

“Mesin ada satu, orang ramai nak guna. Mereka tak boleh tunggu lama. Perkara ini membabitkan nyawa mereka. Kita mahu kerajaan tidak membiarkan isu itu berpanjangan. Kerajaan BN kata rakyat didahulukan. Tapi kenapa nampaknya semacam ‘rakyat diketepikan?”, tambahnya.-Roketkini.com