Berita

Majoriti Melayu tolak UMNO/BN, semakin ramai sokong DAP

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyifatkan statistik membuktikan bahawa majoriti pengundi Melayu yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu menolak Barisan Nasional (BN).
Berucap ketika membahaskan titah Yang Dipertuan Agong semalam, beliau berkata, seramai 7.3 juta daripada 11.23 juta pengundi adalah Melayu.

“UMNO dan BN hanya mendapat 3.4 juta undi Melayu, selebihnya 3.9 juta lagi memilih Pakatan Rakyat, sekaligus menolak UMNO dan BN.

“Maka yang menjerit Melayu itu dan ini, menjerit atas autoriti apa? Majoriti Melayu tidak bersama UMNO,” ujarnya.

Namun demikian, beliau menegaskan DAP masih perlu lebih sokongan Melayu agar dapat memperkukuhkan kekuatan jentera parti dan membantu PR membentuk kerajaan baru pada PRU akan datang.

“Kita hanya akan menang dan berjaya jika berjaya meningkatkan keyakinan di kalangan orang Melayu.

“Kita dalam DAP tidak pernah berkelahi dengan Melayu. Kita mahu ramai lagi Melayu menyertai DAP. Kita bukan musuh Melayu, kita juga bukan musuh raja-raja Melayu dan bukan musuh perlembagaan,” katanya. -Roketk