Berita

Imbuhan RM33.4 juta Pengerusi SYABAS, bukti wujud kronisme

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menyifatkan imbuhan bernilai RM33.4 juta diperoleh Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, selain itu Rozali turut menerima ganjaran berjumlah RM20 juta sebagai Pengerusi Puncak Niaga untuk 2012.

Rozali memegang jawatan sebagai Pengerusi SYABAS dan pemegang majoriti saham dalam Puncak Niaga.

“Walaupun ia adalah hak Puncak Niaga untuk membayar apa sahaja yang ia mahukan, imbuhan yang berlebihan itu tidak bererti keputusan itu beretika dan bertanggungjawab memandangkan air adalah hak milik awam,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam, mengkritik prestasi SYABAS di bawah pengurusan Rozali.

Katanya, dalam keadaan Selangor menghadapi krisis air, ganjaran RM20 juta sepatutnya digunakan untuk mengatasi masalah air, tapi sebaliknya pula dilakukan.

Kata Charles, gaji Rozali turut meningkat daripada RM14 juta pada 2009, RM8.35 juta pada 2011, dan RM33.4 juta pada 2012.

“Mengapa dia diberi ganjaran untuk ketidakcekapan dan pengurusan yang lemah? Ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai merit ganjaran padanya,” soalnya.

Tambah Charles, ini membuktikan wujudnya konflik kepentingan dan tadbir urus korporat yang lemah dalam Puncak Niaga.

Beliau berkata, Rozali adalah bekas Bendahari UMNO Selangor, dan beberapa ahli jawatankuasa imbuhan Puncak Niaga terdiri daripada ahli dan bekas orang kanan Barisan Nasional (BN) Selangor.

“Ini jelas contoh bagaimana kroni politik digunakan untuk membawa pulang ganjaran atau
dalam kes ini, disebut bayaran ganjaran.

“Pada saat orang ramai mempersoalkan peranan dan tanggungjawab beliau, Puncak Niaga dan Rozali terus beroperasi dengan tidak takut langsung pada akauntabiliti,” katanya. -Roketkini.com