Berita

PR Selangor kutip 100,000 tandatangan desak kerajaan tubuh pasukan polis bantuan

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pakatan Rakyat Selangor hari ini melancarkan kempen petisyen mengumpulkan 100,000 tandatangan bagi mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menubuh segera pasukan polis bantuan di Lembah Klang.

Kempen itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai jenayah dan perihal berhubung keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, Kerajaan Persekutuan harus memandang serius cadangan penubuhan pasukan polis bantuan memandangkan keadaan jenayah semakin di Selangor kebelakangan ini membimbangkan.

“Kerajaan Negeri Selangor pernah mengutarakan cadangan ini pada Februari 2011 tetapi ia disambut dingin dan respon sambil lewa oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Malah beliau menolak cadangan kami dengan alasan kadar jenayah di Selangor sudah menurun. Realistiknya, biarpun statistik semakin menurun, rakyat masih tidak rasa selamat dan jenayah tetap berlaku di kawasan perumahan dan tempat kerja mereka.

“Mangsa terbaru ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri mengatakan keadaan jenayah yang serius bukan lagi persepsi tapi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor bersama ADUN PR Selangor antaranya ADUN DAP Damansara Utama, Yeoh Bee Yin, ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim, ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan ADUN Taman Medan, Haniza Talha.

Menurut Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, sebab lain desakan itu adalah jumlah anggota polis yang tidak cukup untuk menangani jenayah.

“Nisbah anggota polis yang disyorkan Interpol adalah 1 anggota polis bagi 250 penduduk. Namun mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, yang mana hanya 30 peratus bertugas pada satu sesi. Ini bermakna dalam satu sesi nisbahnya menjadi 1:1,424,” ujarnya.

Sehubungan itu, Weng San turut menyelar tindakan Kerajaan Persekutuan yang memanipulasi data jenayah indeks dan dan bukan indeks.

“Tidak diketahui umum angka jenayah bukan indeks melonjak sebanyak 68.7 peratus dalam tempoh yang sama iaitu daripada 42,752 kepada 72,106.

“Permainan definisi dan angka ini lebih kepada ‘syok sendiri’ dan sedikit pun tidak menolong rakyat memahami situasi jenayah di negara kita apatah lagi mengurangkan kadar jenayah,” tegasnya.

Haniza Talha pula menegaskan, peningkatan kadar jenayah telah menimbulkan rasa takut kepada masyarakat dan polis bantuan harus ditubuhkan segera.

“Kebanyakan penduduk walaupun mempunyai rumah tapi mereka takut untuk tinggal di rumah, bila mereka membuat laporan, polis hanya datang 30 atau 40 minit kemudian.

“Bila kita tanya pihak polis sebab apa lambat? Mereka kata tidak cukup anggota ke sana. Jadi ini membuktikan ketidakmampuan bilangan anggota yang ada untuk memantau keselamatan penduduk.

“Pengakuan polis ini adalah bukti mengapa polis bantuan perlu dan harus diwujudkan segera,” katanya.-Roketkini.com