Berita

DAP mahu Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 disemak

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: DAP memandang serius kritikan Panel Penilai Bebas (PPB) terhadap draf Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013 hingga 2025 yang dianggap tidak membantu dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming pada sidang medianya meminta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa beliau telah mengambil kira pandangan yang disuarakan PPB.

Menurutnya, panel bebas PPB yang ditubuhkan itu adalah sebuah badan yang bertanggungjawab memberi maklum balas terhadap PPP 2013 hingga 2025 yang dilancarkan 11 September tahun lalu kepada Menteri Pendidikan.

“Ahli dalam PPB terdiri daripada ramai individu yang terkenal dan profesional dipengerusikan bekas Naib Canselor USM dan Naib Canselor Albukhary International University, Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

“Mereka telah menyenaraikan kritikan yang serius terhadap draf PPP dan ini tidak boleh dipandang ringah,” katanya.

Antara kritikan yang dimaksudkan Dr Kian Ming itu meliputi tiga pandangan utama iaitu kritikan PPB setiap cadangan yang disenarai sebagai anjakan bukan perubahan yang mewajarkan penggunaan istilah anjakan tetapi sebarnya adalah usaha pemurnian, pangkayaan dan penambahbaikan kepada apa yang telah dan sedang dilakukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti dalam dokumen Pelan Induk Pembagunan Pendidikan 2006-2010.

“PPB mahu hanya lima daripada 11 perkara yang disenaraikan itu perlu dan wajar dijadikan paksi utama untuk penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

“Mereka juga menyifatkan draf PPP itu kurang memberi impak dalam membawa satu perubahan atau anjakan besar yang diharapkan,” ujar beliau.

Selain itu, panel profesional PPB dalam kritikannya juga menyifatkan draf PPP sekadar sebuah dokumen yang cantik dan boleh dijadikan panduan dalaman bagi pegawai di KPM.

“Tetapi, sebagai dokumen bagi orang awam, draf PPP kurang berjaya menimbulkan kejutan profesional yang diharapkan. Jangkaan dan harapan tinggi orang ramai terhadap perubahan dan pembaharuan yang dijanjikan tidak jelas.

“PPB juga mengkritik bahawa draf PPP hanya sebagai ‘perubahan tambahan’ (incremental change) yang memang sudah biasa dan selalu dilakukan KPM,” jelas Kian Ming.

Berikut adalah 11 cadangan anjakan PPP dimana hanya lima daripadanya di anggap wajar oleh PPB untuk dijadikan paksi utama (Seperti yang dibold)

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa

Anjakan 2: Memastikan setiap murid profisen dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

Anjakan 3: Melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai*

Anjakan 4: Transformasi keguruan sebagai profesyen pilihan*

Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di setiap Sekolah*

Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasakan keperluan*

Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia

Anjakan 8: Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasit pemyampaian kementerian

Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas*

Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit

Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung-Roketkini.com