Berita

Masyarakat Melayu Kedah terima baik DAP, tolak politik jumud

ALOR SETAR, 6 JULAI: UMNO harus menerima hakikat bahawa orang Melayu di Kedah semakin menerima baik DAP di negeri itu berdasarkan kemenangan calon DAP, Tan Kok Yew di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga yang majoriti pengundi kawasan itu adalah Melayu.

Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari ketika merasmikan Pusat Komuniti DAP Derga menyifatkan gambaran “Tsunami Cina” yang dipropagandakan media kawalan UMNO-Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar sama sekali.

“Kejayaan DAP memenangi kerusi Derga sangat bermakna dan menjadi contoh kepada akar umbi parti di seluruh negara memandangkan Derga merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu. Hakikat itu sekaligus memecahkan propaganda sempit BN yang cuba menggambarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai ‘Tsunami Cina’,” katanya.

Sehubungan itu, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, PRU-13 lalu adalah satu detik getir untuk seluruh rakyat Malaysia apabila menyaksikan saingan sengit antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) sehingga berjaya menafikan majoriti undi popular BN yang kini hanya 47 peratus.

Justeru, beliau mahu agar semua ahli dan jentera DAP khususnya dan PR bersedia untuk diuji pada tahap tertinggi.

“Pertarungan idea, cita-cita dan gerak kerja politik ini adalah lumrah dan sihat. Hal ini kerana bangsa Malaysia sendiri juga berada pada perubahan yang membabitkan isu dasar seperti hubungan antara kaum, pendekatan ekonomi dan pembagunan sosial yang kurang dipedulikan pemerintah BN selama ini,” kata beliau.

Tambahnya, dalam memacu perkembangan politik baru malaysia, PR perlu memikul tanggungjawab besar dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangannya sebagai sebuah gabungan parti yang matang dan berani.

“Hanya PR yang mampu menyediakan alternatif kepada politik lapuk kerajaan BN yang gemar memainkan sentimen lapuk perkauman, ekonomi kroni dan ketidakadilan sosial yang berleluasa,” ujarnya.-Roketkini.com