Berita

Guan Eng mohon maaf DUN gantung soalan lisan

GEORGETOWN, 5 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat keputuan menggantung sesi soalan lisan akibat kekangan masa.

“Saya dan rakan secara terus-terang rasa terkejut menerima alasan sedemikian.

“Oleh itu, saya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci,” jelas beliau.

Guan Eng dalam masa yang sama menjelaskan bahawa perkara itu juga tiada kena mengena dengan Speaker yang baru dilantik pada 28 Jun lalu dan secara tradisinya sidang DUN penggal pertama selepas Pilihan Raya Umum akan dimulakan dengan majlis angkat sumpah dan tiada soalan lisan yang ditetapkan.

“Berdasarkan amalan kita, perkara yang sama berlaku pada sesi sidang DUN kali ini walaupun majlis angkat sumpah diadakan bersama perasmian persidangan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, jika persidangan DUN telah dibuat berasingan dengan majlis angkat sumpah, maka soalan lisan akan dibenarkan.

“Ini berlaku pada sesi persidangan DUN pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang mana majlis angkat sumpah diadakan pada 2 Mei 2008 (tanpa soalan lisan) dan perasmian persidangan DUN pula diadakan pada 5 Julai 2008 dengan ditetapkan sesi soalan lisan.

“Pada sesi perasmian persidangan 5 Julai 2008, tempoh masanya yang diadakan selepas majlis angkat sumpah pada 2 Mei 2008 memenuhi notis pemberitahuan yang cukup selama 21 hari,” katanya Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.-Roketkini.com