Berita

Tony Pua terkejut MSWG dakwa Rozali berhak terima imbuhan RM33.4 juta

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, beliau hampir terjatuh daripada kerusi apabila membaca laporan berita bahawa Pengerusi Kumpulan Pemegang Saham Minoriti (MSWG) Puncak Niaga (PNHB), Muhammad Imran Abdullah mendakwa Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali Ismail berhak sepenuhnya menerima pembayaran RM33.4 juta.

Menurut Muhammad Imran, perkara itu dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan PNHB, dan diluluskan kerana mahukan dividen dan pulangan.

Menurut Pua, kumpulan itu secara kebetulan terbentuk seminggu lalu, seolah-olah mereka tidak sedar Puncak Niaga berada di bawah tekanan kewangan yang serius dan tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh lima tahun lalu.

Katanya, di atas kertas, PNHB dilaporkan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM233 juta bagi tahun kewangan 2012. bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa PNHB mencapai keuntungan hanya kerana mengiktiraf RM1,024 juta “pampasan tarif air” daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Pampasan itu tidak pernah dipersetujui kerajaan negeri kerana PNHB dan anak syarikatnya, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) gagal memenuhi tanggungjawabnya mengikut perjanjian konsesi air. termasuk kegagalan SYABAS membaiki dan menggantikan paip lama dan mengurangkan peratusan air tidak terhasil (NRW) di Selangor.

“Malah, “pampasan” itu juga sedang dipertikaikan di mahkamah dan dengan itu tidak boleh diiktiraf sebagai “hasil” PNHB di tempat pertama. Tanpa bayaran pampasan, PNHB akan mengalami kerugian besar sehingga RM791 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, bagi tahun kewangan 2011, PNHB mengalami kerugian bersih RM83 juta, walaupun mengiktiraf RM458 juta dalam “pampasan tarif air”.

Katanya, oleh itu, jumlah kerugian tanpa “pampasan” akan menjadi sebanyak RM541 juta dan angka itu terkandung dalam Laporan Tahunan PNHB 2012, pada muka surat 150 dan 198.