Berita

BN diskriminasi rakyat sendiri, utamakan warga asing

SHAH ALAM, 5 JULAI: Rakyat Malaysia terus didiskriminasi kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila warga asing yang menyertai skim Malaysia My Second Home Centre (MM2H) diberi pengecualian cukai eksais dan cukai kenderaan tetapi nikmat yang sama tidak diperoleh warga tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San mempertikaikan tindakan  kerajaan BN yang lebih mengutamakan rakyat asing sedangkan rakyat sendiri dibeban dengan pelbagai cukai.

“Alasan kerajaan BN sebelum ini untuk tidak hapuskan cukai eksais ialah kerana ia menyumbang kepada cukai yang dikutip kerajaan sebanyak RN7 bilion.

“Ini tidak masuk akal. Adakah ini bermakna cukai yang dipungut kerajaan BN daripada rakyat Malaysia tidak berbaloi untuk menikmati pengecualian cukai jualan dan cukai eksais sedangkan rakyat asing baru sahaja berhijrah ke negara ini,” jelasnya pada sidang media di Lobi DUN Selangor, hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dasar itu yang turut mendiskriminasi wakil rakyat yang memberi khidmat kepada masyarakat.

“Wakil rakyat pun tidak dapat kemudahan itu. Mereka hanya dapat pengecualian cukai eksais untuk membeli kenderaan pacuan empat roda pemasangan tempatan,” kata Weng San.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan BN tidak hipokrit dalam melaksanakan slogan “rakyat didahulukan” yang dibanggakan selama ini.

“Apa yang berlaku menunjukkan dasar automobil kerajaan BN tidak seimbang. Kami seperti dianaktirikan. Sebagai rakyat, kita tidak harus didiskriminasi,” katanya lagi.-Roketkini.com