Berita

DAP pertikai kos perkhidmatan bas PLKN meningkat sehingga 500%

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan kos perkhidmatan bas Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di tujuh kem latihan khidmat negara meningkat sehingga 500 peratus.

Beliau berkata, ini adalah susulan soalan Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Sim Tong Him kepada Menteri Pertahanan mengenai kualiti perkhidmatan di kem latihan khidmat negara yang mendapati kos pengurusan PLKN tidak cekap dan gagal mengoptimumkan kemudahan yang diperuntukkan.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011, sehingga 31 Disember 2011, Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak 87 kem yang beroperasi di bawah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), sebanyak 81 kem sedang beroperasi, tiga dalam pembinaan, dua ditutup sementara dan satu kem masih menunggu Surat Setuju Terima.

Seramai 596,604 pelatih menyertai program itu bagi tempoh antara 2004 dan 2011. Bagi tempoh 2009 hingga 2011 sebanyak RM2.031 bilion diperuntukkan di mana RM1.980 bilion atau 97.5% telah dibelanjakan.

Pada 2011, Jabatan Audit Negara telah melawat tujuh kem PLKN iaitu Kem Paya Indah, Selangor; Kem Princess Haliza, Selangor; Kem Sri Perkasa Mantin, Negeri Sembilan; Kem Cahaya Gemilang, Pahang; Kem White Resort, Balik Pulau, Pulau Pinang; Kem KK Di Bawah Bayu, Sabah; dan Kem PLKN Bukit Saban, Betong, Sarawak.

Hasil daripada lawatan itu, Laporan Ketua Audit Negara mendapati kepincangan besar dalam kos perkhidmatan bas. Sebelum 2010, JLKN membayar RM1.35 juta bagi perkhidmatan bas di tujuh kem terbabit dan bayaran itu dibuat mengikut perjalanan, bukannya sewa bulanan.

Namun begitu, bagi 2010 dan 2011 pula, sejak berkuatkuasanya kontrak perkhidmatan selama lima tahun dengan Syarikat GPB Corporation Sdn Bhd, JLKN membayar RM5.36 juta setiap tahun untuk tujuh kem yang sama. Ini peningkatan mendadak lima kali ganda atau 500 peratus dan jelas satu pembaziran sumber kerana perkhidmatan bas tidak dioptimumkan.

Menurut laporan sama, bayaran bulanan berjumlah RM17,014 bagi sebuah bas atau RM85,072 bagi setiap kem pada 2010 dan 2011 tidak setimpal dengan jumlah penggunaannya. Analisis Audit mendapati purata penggunaan bulanan bas adalah hanya antara dua hingga 15 kali bagi 2010 dan antara satu hingga 18 kali bagi 2011. Malah, terdapat kem PLKN yang gagal mengemukakan log perjalanan bas.

JLKN memberi maklum balas pada 13 Jun 2012 yang mendakwa kontrak perkhidmatan bas diperlukan bagi memudahkan jabatan membuat perancangan perjalanan dan pengurusan menjadi lebih sistematik tidak boleh diterima kerana kekerapan penggunaan bas yang rendah dan membabitkan peningkatan kos sehingga 500 peratus.

Sehubungan itu, Zairil meminta Menteri Pertahanan menjawab soalan berikut:

* Laporan Ketua Audit itu hanya meliputi tujuh Kem Latihan Khidmat Negara yang terpilih sahaja, jadi berapakah kos sebenar untuk semua kem latihan di seluruh negara? Jika berdasarkan kos RM5.36 juta setahun untuk tujuh kem, ini bermakna kos perkhidmatan bas bagi 81 kem mungkin mencecah RM434 juta.

* Apa alasan sebenar JLKN untuk menukar kaedah sewaan perkhidmatan daripada berdasarkan jumlah perjalanan kepada sewaan bulanan yang membabitkan peningkatan kos sebanyak 500 peratus yang tidak setimpal dengan penggunaan.

* Bagaimana pula kaedah syarikat bas itu dilantik dan apakah perincian perjanjian terbabit?

* Apakah tindakan JLKN untuk menghentikan pembaziran yang tidak masuk akal itu.-Roketkini.com