Berita

Kadar jenayah menurun walaupun EO dimansuh

PETALING JAYA, 9 JULAI: Walaupun Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan pada akhir 2011, kadar jenayah selepas itu iaitu pada 2012 menurun mengikut statistik polis.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataannya hari ini merujuk kepada indeks jenayah yang dikeluarkan pihak polis pada 2012 yang menyaksikan penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus berbanding 2011.

“Mengikut statistik polis, jenayah menurun walaupun pada hakikatnya EO dimansuhkan,” katanya.

Terdahulu itu, katanya, penurunan ketara jenayah juga direkodkan daripada 209, 417 pada 2009 kepada 157,891 pada 2011 berikutan pelancaran ‘Mengurangkan Jenayah’ Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 2009.

“Ini disebabkan langkah diambil di bawah Pelan Transformasi Kerajaan dengan peruntukan yang lebih besar kepada rondaan dan memerangi jenayah jalanan.

“Jika ‘pencapaian’ statistik itu benar, mengapa polis tidak pernah mengatakan ianya disebabkan penggunaan EO,” ujarnya.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP turut mempertikaikan tindakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan peningkatan jenayah adalah berpunca pemansuhan EO.

“Isunya sekarang samada pemansuhan EO itu adalah punca jenayah meningkat atau ia menjadi ‘bahan’ oleh polis untuk menutup kekurangan profesionalisme dan kecekapan dalam menyelesaikan kes jenayah serta mengelak berlakunya jenayah.

“Tapi polis masih belum membentangkan bukti bahawa jenayah yang semakin meningkat baru-baru ini adalah disebabkan ‘penjenayah tegar’ yang dibebaskan daripada pusat tahanan Simpang Renggam,” kata Pua.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor telah dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa orang daripada mereka telah kembali melakukan jenayah.

Pada masa sama, pihak polis mendakwa disebabkan permansuhan EO, mereka dinafikan kuasa untuk menahan ‘suspek’ dan menyatakan ia menjadi punca kepada peningkatan jenayah.

Pua juga berkata, mengikut statistik jenayah sepanjang dekad lalu, ketika EO masih wujud, jenayah telah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008.

“Kadar jenayah ketika itu meningkat sebanyak 34.0 peratus daripada 2004 hingga 2007. Dalam tempoh itu, EO masih di tangan polis dan mengapa jenayah seolah-olah tidak mampu dihalang,” tegasnya.-Roketkini.com