Berita

PR sokong sebulat suara calon PAS PRK Kuala Besut

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Pakatan Rakyat (PR) hari ini sepakat menyokong penuh calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang media bersama di Parlimen hari ini menyatakan sokongan padu kepada calon PAS yang bertanding pada PRK Kuala Besut.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menegaskan DAP sebulat suara akan memberi sokongan penuh untuk memastikan PR menang pada PRK itu.

“Kami akan memberi sokongan padu kepada calon yang dipilih bertanding dan meminta semua pengundi agar keluar beramai-ramai memberi undi supaya calon PAS memperoleh kemenangan serta memberi kejutan terbesar kepada BN,” katanya.

Husam pula berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon itu selewat-lewatnya malam ini.

“Kami akan bekerja kuat dan memastikan calon PAS itu akan memenangi PRK Kuala Besut, 24 Julai ini.

“Kami juga berharap rakyat tempatan akan memikirkan manafaat yang lebih menyeluruh untuk mereka dengan memberi kejayaan kepada PR.

“Terengganu adalah negeri pengeluar petroleum tetapi penduduk tempatan Kuala Besut adalah yang paling miskin di negeri itu, ini sangat tidak wajar,” ujarnya. – Roketkini.com