Berita

Guru sandaran mangsa terbaru janji tidak ditepati kerajaan BN

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji untuk memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk guru sandaran.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, berkata beliau menerima aduan daripada tiga guru sandaran di Sekolah Rendak Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Senai yang tidak pernah menerima bonus seperti dijanjikan kerajaan BN.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun lalu berjanji untuk memberi imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi kali kedua kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

“Mereka sepatutnya menerima imbuhan itu pada Disember tahun lalu dan Januari tahun ini. Tetapi hingga sekarang mereka belum menerima bonus yang dijanjikan Najib pada Bajet 2013.

“Saya tidak tahu samada terdapat ‘Napoleon Kecil’ yang tidak memahami pekeliling atau sememangnya kerajaan BN tidak mengotakan janji,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen bersama Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, hari ini.

Julai tahun lalu, Najib mengumumkan untuk memberi bonus sempena Aidilfitri kepada penjawat awam dengan bayaran minimum bagi 2012 sebanyak RM1,500. Kerajaan berjanji melunaskan bayaran bonus itu secara beransur-ansur iaitu RM500 pada Ogos 2012, RM500 pada Disember 2012 dan RM500 lagi pada Januari 2013.

Sehubungan itu, Nie Ching mendesak kerajaan BN mengotakan janji untuk memberi bonus kepada pegawai perkhidmatan awam serta guru sandaran seperti yang dijanjikan.

“Pegawai Jabatan Pendidikan juga tidak memberi sebarang alasan atas kelewatan pembayaran bonus itu, mereka hanya menyuruh guru terbabit menunggu.

“Jabatan Pelajaran memaklumkan kepada saya, beribu lagi guru sementara mengalami nasib yang sama. Mereka menunggu selama setengah tahun, saya harap mereka akan menerimanya sebelum Aidilfitri ini, tetapi setakat ini saya tidak nampak ia akan dibayar,” ujarnya. -Roketkini.com