Berita

DAP tawar kerjasama perangi rasuah

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: DAP menawarkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) untuk memerangi gejala rasuah yang semakin berleluasa dalam negara ini.

Tawaran DAP itu dibuat demi kepentingan semua berdasarkan kaji selidik Transparency National (TI) yang menunjukkan kerajaan semakin hilang arah dalam membasmi gejala itu.

Demikian menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, apa yang ditawarkan DAP itu amat kena pada waktunya di saat rakyat Malaysia leka disuap dengan pelbagai mainan sentimen agama dan perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan Malaysia.

“Negara mengalami kerugian akibat rasuah sekitar RM27 bilion setahun. Malah menghampiri satu trilion ringgit dalam tempoh 10 tahun seperti yang dianggarkan Laporan Global Financial Integrity yang berpusat di Washington,” jelasnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan berkata, parti politik dan pihak polis merupakan antara dua institusi yang dikenal pasti paling korup.

“Skala rasuah yang dicatat untuk polis mencecah angka 4.0 manakala parti politik pula sebanyak 3.8.

“Menurut laporan terkini Barometer Indeks Rasuah Global TI Malaysia yang dikeluarkan pada Mac 2013, hanya 31 peratus responden merasakan bahawa kerajaan mengambil langkah efektif membanteras rasuah. Ini menunjukkan penurunan berbanding 2011 iaitu 49 peratus,” jelas Guan Eng lanjut.

Beliau turut sedih apabila bekas Presiden TI Malaysia yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low terus berada dalam sindrom penafian apabila beliau seolah-olah tidak peduli kepada laporan buruk indeks rasuah yang didedahkan.

“Kami sedih bila beliau kata rasuah ini adalah gejala global dan bukan hanya membabitkan Malaysia.

“Kami tidak menafikan tetapi iltizam kerajaan tidak seperti negara lain contohnya China yang sangat serius memerangi rasuah di mana bekas menterinya yang disabit kesalahan itu dijatuhi hukuman mati,” kata Guan Eng.

Tambah membimbangkan, wabak rasuah ini jelasnya lagi seperti dibaja apabila ia dilihat menjadi budaya amalan kerajaan BN.

“Jika rasuah tidak dibanteras habis-habisan, Malaysia akan mati. Tapi, jika rasuah diperangi, BN akan mati,”

Justeru, Guan Eng berharap kerajaan Persekutuan yang dikepalai BN sedia untuk membuktikan caca-marba rasuah yang berlaku dalam negara ini dihapuskan

“Perkara ini boleh dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dan bukan sekadar mainan di mulut,” kata beliau.- Roketkini.com