Berita

BN usah sandiwara isu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin mempertikaikan keikhlasan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) memajukan Sabah dan Sarawak dan mendakwa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sebagai ‘indah khabar daripada rupa’.

“Nama saja ‘bagus’ macam ‘hotel lima bintang’ tapi sebenarnya tidak ada bintang. Kalau kita pergi lihat sendiri, ini bukan ‘highway’, ini hanya jalan raya biasa yang ada satu laluan. Bukannya dua atau empat laluan. Adakah kerajaan BN cuba memperbodohkan rakyat Sabah dan Sarawak?,” katanya ketika ditemui.

Tambah menyedihkan Wong bekata, pembinaan lebuhraya itu yang bermula pada 2011 hanya akan siap pada 2025 dengan peruntukan yang sedikit iaitu RM22 bilion.

“Kenapa ambil masa yang begitu lama pada masa yang sama kerajaan mahu mencapai sasaran negara maju pada 2020,” tanya beliau.

Menurutnya, tanpa kemudahan infrastruktur seperti jaringan jalan raya yang baik dan komprehensif, pembangunan sesebuah kawasan juga akan terganggu.

“Bayangkan, kalau kita ambil contoh seperti di Pulau Pinang. Negeri itu tidak ada balak, tidak ada minyak tetapi maju. Sama juga dengan Selangor yang menjadi sebuah negeri penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Kenapa? Kerana negeri itu ada infrastruktur, jaringan jalan raya dan lebuh raya yang baik.

“Saya hairan, kenapa BN selalu bersikap sambil lewa kepada negeri kononnya ‘fixed deposit!’,” katanya.

Beliau turut mempertikai kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer sebanyak RM22 bilion dikatakan mahal sedangkan kos pembinaan projek MRT (Mass Rapid Transit) di Lembah Klang sepanjang 150 kilometer bernilai RM50 bilion.

“Kos pembinaan MRT dengan AS$133 million per kilometer adalah jauh lebih mahal berbanding Keretapi Laju Beijing-Shanghai yang hanya menelan kos US$16 million per kilometer dengan jarak sejauh 1,318 kilometer.

“Tetapi, Lebuhraya Pan Borneo yang hanya RM22 bilion pula dikatakan mahal dan kerajaan pula beri alasan sebab ia mahal maka perlu dibina secara berperingkat sehingga 2025. Alasan semacam ini  tidak logik, kita todak boleh terima,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usul itu akan dibawa untuk dibahas pada sesi Dewan Rakyat pada September ini.

“Saya akan bawa isu ini ke Parlimen. Sabah dan Sarawak negeri kaya, tapi miskin infrastruktur, jadi sampai bila kami akan terus didiskriminasi kerajaan BN.

“Kami nak beritahu, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo amat penting untuk pembangunan negeri jadi berapa lama lagi Sabah akan terus ketinggalan,” tambahnya.-Roketkini.com