Berita

DAP pertikai kerajaan beri kontrak secara rundingan terus

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Selepas pendedahan pemberian kontrak RM9 bilion kepada YTL Corporation Bhd (YTL) bagi pembekalan komputer, DAP sekali lagi mempertikai pemberian kontrak pembinaan projek sistem rail baru di Wilayah Iskandar Malaysia bernilai RM1 bilion secara runding terus kepada syarikat, Malaysian Steel Works (Masteel).

Bukan itu saja, malah syarikat itu diberi pinjaman mudah sebanyak RM700 juta bagi pelaksanaan projek sistem rail yang merangkumi 20 stesen termasuk Kulai, Gelang Patah, Nusajaya, Johor Bahru dan Masai.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee, berkata antara perkara yang menghairankan ialah mengapa Masteel boleh dipilih sedangkan pengkhususan mereka adalah dalam bidang pembuatan keluli dan bukannya pembinaan rail.

“Lebih mengejutkan, 40 peratus sahamnya dimiliki syarikat yang mempunyai kepentingan UMNO iaitu KUB Berhad manakala selebihnya oleh anak syarikat Masteel, Metropolitan Commuter Network (MCN).

“Syarikat itu juga diberi konsesi menjalankan sistem komuter selama 37 tahun sedangkan MCN akan mendapat pulangan modal selepas 12 tahun,” katanya merujuk laporan akhbar The Edge Malaysia bertarikh 17 Jun lalu.

Dalam laporan itu, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng menjelaskan bahawa MCN akan melabur sebanyak RM300 juta untuk melaksanakan projek itu dengan pinjaman “soft loan” sebanyak RM700 juta daripada kerajaan.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, selain itu, tindakan kerajaan menswastakan projek itu juga menjadi tanda tanya sedangkan 70 peratus dana pembinaan itu adalah daripada kerajaan.

“Apa yang berlaku itu pelik, ia bukan bidang pengkhususan mereka. Masteel pula hanya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM24 juta pada 2012.

“Kerajaan perlu menjelaskan kewajaran mereka menawarkan projek secara rundingan terus dan kerap diberi kepada syarikat yang tiada pengalaman dan tidak mempunyai dana kewangan mencukupi,” kata Pua.

Manakala menurut Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, jika kerajaan menjalankan proses tender terbuka, ia mampu mengurangkan kos pembinaan sekaligus mewujudkan persaingan yang baik.

“Kalau kos pembinaan tinggi akibat rundingan terus, kita mungkin akan berhadapan dengan perkhidmatan yang mahal. Jika kos pembinaan rendah, kos perkhidmatan juga akan rendah.

“Rakyat juga akan dapat menggunakan perkhidmatan itu dengan murah,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk menjalankan sistem tender terbuka dalam semua perolehan kerajaan bagi meningkatkan ketelusan dan membendung rasuah, namun, pemberian kontrak secara rundingan terus masih berlaku.-Roketkini.com