Berita

DAP pertikai Kementerian Pendidikan pilih YTL bekal komputer Chromebook

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan tindakan Kementerian Pendidikan yang memilih YTL Corporation Bhd (YTL) untuk membekal komputer riba Chromebook sedangkan ia boleh dipesan terus daripada pengeluarnya iaitu Samsung atau Acer.

Beliau berkata, persoalan timbul mengapa Kementerian Pendidikan perlu membayar RM1,200 untuk Samsung Wi-Fi sedangkan harga unit yang sama dijual hanya RM988 dan akan mendapat banyak diskaun jika memesan sebanyak 116,399 unit dan bakal membeli 5.4 juta unit lagi sejajar dengan program “1 Student 1 Device” yang akan dimulakan tahun depan.

“Saya juga telah menyatakan sebahagian besar kos itu akan berulang, khususnya kos pelesenan dan penyelenggaraan dan menegaskan pembelian Chromebook adalah bom jangka kerana Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka berjanji menyediakan satu komputer riba kepada setiap murid di negara ini di bawah program “1 Student 1 Device”.

“Ini bermakna kos keseluruhan akan mencecah RM6.6 bilion bagi semua 5.5 juta murid pada harga RM1,200 seunit, iaitu harga yang dinyatakan dalam jawapan di Parlimen.

“Sedangkan kementerian boleh mendapatkan tawaran yang lebih baik dan menjimatkan jika membeli Chromebook terus daripada pengeluar, sama ada Samsung atau Acer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Zairil mendedahkan Kementerian Pendidikan menganugerahkan YTL dan anak syarikatnya memonopoli pelbagai projek yang menguntungkan iaitu pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun), Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan) dan pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).

Sehubungan itu, beliau mempertikaikan kecekapan kos pembelian yang dicadangkan untuk Chromebook iaitu komputer riba berdasarkan pengkomputeran awan (cloud computing), yang bermakna setiap unit bukan untuk pengguna unik.

Jawapan Parlimen yang diterima pada 8 Julai lalu menyatakan bahawa Kementerian bercadang memulakan pelancaran Chromebook itu tahun depan.

“Menurut garis panduan Kementerian mengenai pembekalan Chromebook, sekolah akan dibekalkan sama ada Chromebook Samsung atau Chromebook Acer, kedua-duanya dilengkapi Wi-Fi. Semakan awal saya pada harga runcit mendedahkan bahawa Samsung Chromebook dengan Wi-Fi dijual pada harga RM988 di Malaysia, manakala unit dengan 4G dijual pada harga runcit RM1,299. Malah, harga ini lebih tinggi daripada kos unit yang sama di seluruh dunia, berdasarkan perbandingan di bawah:

“Dalam kenyataan balas kepada soalan saya di Parlimen semalam mengenai rasional penganugerahan ketiga-tiga projek itu kepada YTL, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, penggunaan Chromebook adalah lebih menjimatkan berbanding kos pembinaan makmal komputer yang baru di sekolah.

“Beliau juga memaklumkan penggunaan Chromebook akan menelan belanja RM86,700 setiap kelas, berbanding kos sebanyak RM150,000 untuk membina makmal komputer biasa,” katanya.

Menurut Zairil, ia akan lebih menjimatkan jika Kerajaan Pendidikan membeli Chromebook secara langsung daripada pengeluar, berbanding kos yang lebih mahal melalui YTL, sedangkan syarikat itu bukan pengeluar atau pengedar komputer.-Roketkini.com