Berita

DAP gesa PDRM lakukan rombakan struktur perkhidmatan anggota untuk bendung jenayah

KAJANG, 16 JULAI: DAP menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan kepolisan sedia ada agar lebih mampu membendung jenayah yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Balakong, Ng Tien Chee berkata, sehubungan itu PDRM harus merombak semula anggotanya supaya pembahagian tugas di semua jabatan dilakukan dengan lebih seimbang sekaligus membantu polis bekerja dengan lebih efisyen.

“Mengikut maklumat yang diberi Ketua Polis Daerah Kajang, kekuatan polis di sini jauh tidak mencukupi, ini menyebabkan tugasan mereka terjejas dan rondaan di kawasan perumahan dan komersial tidak terasa.

“Kami menggesa pihak PDRM membuat rombakan semula anggota supaya pembahagian dapat dibuat dengan baik dan ianya harus diberi keutamaan supaya tugasan harian polis dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Masalah jenayah ini bukan sekadar persepsi awam tapi sudah menjadi satu dilemma yang menghantui penghuni sekitar Lembah Klang,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di perkarangan Surau Al-Mukhlisin, Taman Desa Baiduri, Balakong, baru-baru ini.

Majlis berbuka puasa dan penyerahan kurma itu dihadiri lima wakil masjid dan 49 surau di sekitar Balakong. Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming turut hadir untuk bersama-sama rakan muslim lain menghayati semangat Ramadhan.

Selain itu, Tien Chee menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sangat diperlukan untuk memantau disiplin anggota polis yang hilang keyakinan orang awam dan melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis.

“Penubuhan IPCMC adalah satu langkah yang penting  untuk menangani kes kematian dalam tahanan yang makin meningkat. Mulai 2000 sehingga kini, 218 kematian dalam tahanan dilaporkan dan semakin membimbangkan dengan lapan kes dilaporkan dalam tempoh lima bulan tahun ini,” ujarnya.-Roketkini.com