Berita

DAP gesa kerajaan satukan sistem pra-universiti

BENTONG, 17 JULAI: DAP menggesa kerajaan menyatukan serta merta sistem pra-universiti negara untuk menangani masalah pelajar cemerlang yang gagal memasuki universiti tempatan serta memperoleh kursus diingini.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti Pemuda DAP Kebangsaan, Chow Yu Hui menegaskan langkah sedemikian penting bagi melayakkan universiti tempatan berdiri sama tinggi dengan universiti terkemuka di seluruh dunia.

“Sistem pra-universiti kini yang merangkumi STPM dan program matrikulasi harus disatukan, markah kelayakan bagi setiap kursus juga patut diumumkan supaya pelajar dapat mengetahuinya sebelum memohon.

“Dasar yang telus ini harus dilaksanakan tanpa berlengah untuk memastikan universiti kita mampu melahirkan graduan berkualiti dan berdiri setaraf dengan universiti terkemuka dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Yu Hui yang juga ADUN DAP Bilut, sehingga kini puluhan pelajar didapati tidak ditawarkan sebarang kursus di IPTA walaupun mereka mencapai markah 4.0 dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).

“Kementerian Pendidikan memberi alasan kegagalan itu berpunca daripada kesilapan teknikal pelajar sendiri, iaitu ketidakupayaan mengisi borang dengan baik.

“Tapi saban tahun masalah sama berulang tanpa henti, ini ternyata bukan akibat kesilapan teknikal tapi kerana sistem pra-universiti tidak disatukan.

“Jika benar tidak ada diskriminasi terhadap pelajar STPM yang dilaporkan telah dipinggirkan dalam isu penerimaan masuk ke universiti tempatan mengapa Kementerian Pendidikan tidak mengumumkan nisbah antara pelajar STPM dan pelajar matrikulasi?,” soalnya.

Katanya lagi, isu perbezaan pemberian markah kokurikulum turut membelenggu pelajar.

“Lumrahnya markah kokurikulum pelajar matrikulasi diberi oleh pensyarah di kolej masing-masing manakala markah kokurikulum pelajar STPM diperoleh melalui penggabungan markah kokurikulum sejak Tingkatan Satu sehingga peringkat pra-universiti.

“Pengerusi Biro Pendidikan MCA, Datuk Wee Ka Siong sendiri mengakui bahawa pelajar matrikulasi lebih mudah untuk memperoleh markah kokurikulum berbanding pelajar STPM.

“Hal ini jelas menunjukkan terdapat perbezaan ketara dalam pemberian markah kokurikulum antara pelajar STPM dengan pelajar matrikulasi, ini tentunya mewujudkan perasaan ketidakadilan dalam kalangan pelajar STPM,” ujarnya. -Roketkini.com