Berita

DAP desak kerajaan perjelas pengecualian duti eksais kepada warga asing

PETALING JAYA, 17 JULAI: ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng San memohon perjelasan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhubung pengecualian duti eksais dan cukai jualan kepada warga asing yang mengambil bahagian dalam My Second Home (MM2H).

Beliau berkata, Ahmad Husni harus memberi maklum balas umum berkenaan dasar kerajaan yang tidak adil itu.

“Dasar kerajaan ini bersifat diskriminasi terhadap rakyat Malaysia sendiri. Isu ini mendapat liputan luas media dan rakyat, jadi beliau harus memberi penjelasan.

“Saya sedia maklum bahawa layanan yang sama tidak diberi kepada rakyat Malaysia sendiri, khususnya rakyat yang banyak menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara, baik dari segi cukai pendapatan atau pembayaran cukai yang lain.

“Saya amat berharap dasar yang bersifat diskriminasi ini disemak semula dan seterusnya membenarkan pengecualian dalam bentuk yang sama kepada rakyat agar mereka boleh memiliki kenderaan yang berkualiti tanpa perlu membayar dengan harga yang terlampau tinggi.” katanya dalam surat rasmi kepada Ahmad Husni bertarikh 15 Julai 2013.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor sebelum ini pada sidang media pada 5 Julai lalu membongkarkan pengecualian duti eksais dan cukai kepada warga asing mengambil bahagian dalam program MM2H sedangkan rakyat Malaysia tidak diberi layanan sedemikian.

Menurut Weng San, berdasarkan laman web MM2H, peserta program itu dibenarkan membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Complete Knock Down-CKD) tanpa perlu membayar cukai terbabit.

Beliau juga mempersoal apakah cukai yang disumbangkan rakyat selama ini tidak cukup sehingga kerajaan memberi layanan demikian kepada warga sendiri. -Roketkini.com