Berita

Pulau Pinang tuntut Menteri Pelancongan lunas janji RM20 juta tapak warisan UNESCO George Town

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang menuntut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz melunaskan permohonan geran bernilai RM20 juta yang dijanjikan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memulihara, melindungi dan mempromosi tapak warisan dunia UNESCO George Town.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Abdullah pernah menyatakan untuk memberi RM20 juta kepada Pulau Pinang dan RM30 juta kepada Melaka, namun sehingga kini peruntukan itu tidak diperoleh kerajaan negeri.

“Sehingga kini kerajaan negeri tidak menerima sebarang peruntukan, sebaliknya Melaka telah memperoleh peruntukan itu.

“Memandangkan kerajaan negeri memberi komitmen penuh kepada pihak UNESCO dalam usaha memelihara dan melindungi aset warisan dalam Tapak Warisan Dunia George Town yang merangkumi aset warisan ketara dan tidak ketara, kami ingin memohon sokongan dan kelulusan Menteri agar janji peruntukan RM20 juta itu dilunaskan.

“Wang yang disalurkan itu nanti dapat meneruskan perancangan dan program pemuliharaan warisan yang dijalankan dan bakal dijalankan demi manfaat semua,” katanya dalam surat rasmi kepada Nazri bertarikh 15 Julai 2013.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menyatakan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam agenda pelancongan ini menjadi harapan semua rakyat Pulau Pinang.

“Menjadi harapan kami dan semua rakyat agar kerajaan dapat berganding bahu dengan bersama-sama menerajui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan aset warisan Pulau Pinang agar budaya kita dapat diteruskan kepada generasi akan datang.

“Kerjasama ini juga dapat memajukan George Town sebagai satu tapak warisan UNESCO yang betul-betul unik, unggul dan bandar warisan hidup yang sebenar,” ujarnya.

Menurut beliau, kepentingan usaha untuk mengekal, memelihara dan melindungi aset warisan sangat penting agar ia dapat dipelihara dan sentiasa terjaga.

“Saya dengan tulus hati menyokong dan menyahut seruan Nazri melindungi dan memulihara warisan negara.

“Kerajaan negeri juga sejak dulu lagi bertekad dan berusaha gigih dalam perancangan serta pelaksanaan kerja memelihara dan memulihara aset warisan negeri yang dibangga dan dikagumi ramai.

“Usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan di Pulau Pinang, khasnya Tapak Warisan Dunia George Town telah giat berkembang dan pelbagai program sudah dirancang dan dijalankan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan agensi lain,” katanya. -Roketkini.com