Berita

Najib pasang strategi bendung pengaruh Muhyiddin di Johor?

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mungkin akan terus berkempen sehingga Perhimpunan Agung UMNO akhir tahun ini kerana masih banyak papan iklan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 yang memaparkan wajahnya di Johor masih belum diturunkan.

Jika benar seperti dijangka, siapa pula yang bakal ‘menentang’ Najib pada Perhimpunan Agung UMNO PAU yang akan berlangsung sehingga pihak berkuasa tempatan seperti memberi ‘lampu hijau’ membiarkan papan iklan itu masih terpacak.

Begitu teka teki yang timbul apabila Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan tempatan membiarkan papan iklan yang terpampang gambar Presiden UMNO itu masih berdiri tegak di beberapa kawasan sekitar Johor.

“Sampai bila ‘Najib’ mahu kempen dan kalau ikut peraturan pilihan raya, semua bahan kempen seperti bendera, poster, papan iklan perlu dibersihkan dalam masa dua minggu selepas PRU,” katanya di lobi Parlimen.

Menurut beliau, dianggarkan kira-kira 30 papan iklan terpampang wajah Najib belum diturunkan di beberapa kawasan di negeri itu.

“Papan iklan kempen itu tertera wajah Najib dengan slogan ‘Sokong saya, undi BN’ dan saya dapati beberapa papan iklan itu berada di kawasan berhampiran sekolah,” ujar beliau.

Dalam peraturan kempen pilihan raya. Setiap kawasan Parlimen perlu membayar RM5,000 sebagai deposit pemasangan bahan kempen manakala RM3,000 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sudah dua bulan pilihan raya berlalu, tetapi Najib mahu berkempen lagikah?,” soal Nie Ching lagi.

Sehingga saat ini, ramai penganalisis politik melihat bahawa wujud pertembungan kuat antara Team Najib dan Team Muhyiddin menjelang pemilihan UMNO akan datang membabitkan pertandingan jawatan presiden parti itu.-Roketkini.com