Berita

Anthony Loke kecam tindakan berat sebelah pihak berkuasa terhadap PR

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang membuat keputusan berat sebelah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berbanding pemimpin UMNO/BN dan penyokong kerajaan pemerintah.

Mengulas tindakan pihak berkuasa yang mengambil hanya tiga minggu untuk mendakwa beliau atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, tapi tidak melakukan perkara yang sama ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Mohamad Hassan tiga tahun lalu  disiasat berhubung salah laku menghantar wang sebanyak RM10 juta ke luar negara melalui cara yang menyalahi undang-undang dan sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan atau hukuman dikenakan.

“Saya menerima jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menyatakan kertas siasatan sudah selesai dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Dalam kes Mohamad Hassan, ia sudah tiga tahun tapi tidak ada tindakan dilakukan terhadap beliau tetapi apabila membabitkan pimpinan oposisi, pihak berkuasa hanya ambil masa hanya tiga minggu,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, walaupun mempunyai kes yang masih belum selesai, Mohamad Hassan masih diletakkan sebagai calon BN dan kemudian dikekalkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Tapi dalam kes saya, mereka memberi saman untuk hadir ke mahkamah sebelum saya selesai membuat kenyataan kepada pihak polis.

“Notis saman itu disediakan sehari sebelum saya memberi keterangan,” ujarnya.

Loke berkata, jika disabitkan kesalahan beliau bakal berdepan hukuman maksimum sebanyak RM10,000 dan boleh menyebabkan hilang kelayakkan sebagai Ahli Parlimen.

Menurut beliau lagi, Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli juga dijangka akan didakwa dengan kesalahan yang sama.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Thomas Su.

Guan Eng pula menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik balik pertuduhan itu kerana ia bertentangan dengan demokrasi.

“Dakwaan yang dikenakan terhadap Anthony Loke adalah satu bentuk ancaman. Dulu saya juga mengalami nasib yang sama apabila didakwa dan disumbat ke penjara hanya kerana mempertahankan seorang gadis. Hanya kerana itu saya kehilangan status sebagai Ahli Parlimen.

“Orang yang zalim tidak dihukum tetapi mereka yang mencari jawapan dan kebenaran pula yang dipenjarakan,” tegasnya. -Roketkini.com