Berita

DAP desak kerajaan henti tawar projek JMCN secara rundingan terus

PETALING JAYA, 19 JULAI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendesak kerajaan memberhentikan segera tawaran bagi melaksanakan projek Rangkaian Komuter Metropolitan Johor (JMCN) di Wilayah Iskandar Malaysia secara rundingan terus kepada syarikat Malaysia Steel Works Bhd (Masteel).

Katanya, tawaran secara rundingan terus perlu dihentikan segera dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri mesti bertegas bahawa projek itu akan ditawar secara tender terbuka dan kompetitif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

The Edge Malaysia dalam isu keluaran 17-23 Jun lalu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng menyatakan syarikatnya akan melabur RM300 juta dalam projek JMCN itu dan akan menerima pinjaman mudah bernilai RM700 juta dari kerajaan.

Pada 15 Julai lalu, Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menegaskan bahawa Masteel mengaku ia boleh mendapatkan balik pelaburan itu dalam masa 12 tahun, ini menimbulkan persoalan mengapa kerajaan perlu memberi tempoh konsesi 37 tahun bagi membolehkan mereka membuat keuntungan bersih selama 25 tahun .

“Kos keseluruhan projek itu adalah sebanyak RM1 bilion. Kerajaan memberikan konsesi pinjaman mudah RM700 juta. Jika anda boleh berikan pinjaman mudah 70 peratus, mengapa perlu menswastakan projek itu.

“Mengapa tidak melaksanakannya sendiri? Adakah idea penswastaan itu untuk membolehkan syarikat swasta membiayai modal?,” soalnya.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan mengalu-alukan penjelasan Masteel bahawa JMCN masih dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai kementerian dan tidak pernah diberi kelulusan penuh untuk melaksanakan projek itu.

“Penjelasan sangat dialu-alukan kerana kami boleh menyeru kerajaan untuk memastikan projek RM1 bilion ini masih belum diberi dan akan ditender secara terbuka, bukannya secara rundingan terus.

“Dengan memastikan semua projek yang diberi kerajaan pada nilai yang terbaik, kepentingan pengguna dan rakyat Malaysia boleh dilindungi.

“Mana-mana syarikat swasta mempunyai hak untuk mengemukakan tawaran tanpa diminta kepada kerajaan tapi bukan melalui rundingan terus, tetapi tawaran atau bidaan diminta tidak membenarkan mereka membuat rundingan terus dengan kerajaan.

Pua sebelum ini mendedahkan pemberian kontrak pembinaan projek sistem rail baru di Wilayah Iskandar Malaysia bernilai RM1 bilion secara rundingan terus kepada Masteel.

Malah syarikat itu juga diberi pinjaman mudah sebanyak RM700 juta bagi pelaksanaan projek sistem rail yang merangkumi 20 stesen termasuk Kulai, Gelang Patah, Nusajaya, Johor Bahru dan Masai. -Roketkini.com