Berita

Melayu masih miskin, UMNO bukan pembela mereka

RAUB, 22 JULAI: UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu sedar dan tidak memainkan sentimen perkauman konon mahu membela dan memperkasakan orang Malayu sedangkan realiti menunjukkan orang Melayu masih terkebelakang di bawah ‘jagaan’ mereka.

Statistik menunjukkan purata pendapatan masyarakat Melayu di kawasan luar bandar sebanyak RM3,000 juga tidak bermakna apa-apa kerana secara realiti, masih ramai orang Melayu yang  berpendapatan jauh lebih kurang daripada itu.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz dalam tulisannya berkata,  setelah berdekad lamanya UMNO/BN memerintah, 7.2 juta orang Melayu masih berpendapatan kurang daripada RM1,700 manakala 8.7 juta pula berpendapatan RM1,500 sebulan berbanding kaum lain.

“Ini bemakna, yang paling miskin ialah Melayu. UMNO menjerit Melayu itu dan ini, menjerit atas kuasa apa?,” soalnya.

Beliau juga memberi bukti bagaimana penduduk luar bandar di kawasannya yang masih terjerut dengan kemelut kemiskinan yang tidak wajar.

“Mereka hanya bekerja kampung atau makan gaji sebagai buruh menoreh getah. Dengan harga getah yang amat rendah keluaga Melayu yang hanya berpendapatan RM200 sebulan masih ramai.

“Maka pendapatan purata RM3,000 sebulan yang dibanggakan atas kertas itu tidak bermakna apa-apa kepada orang Melayu. Sebahagian besar berada di luar lingkungan pendapatan purata itu. Tapi, kebetulan itulah tahap kelayakan menerima BR1M. maka BR1M sebetulnya menjadi pengesahan bahawa orang Melayu miskin selama berada dalam pemerintahan UMNO,” jelas Mohd Ariff lanjut.

Sehubungan itu, Mohd Ariff berpandangan kegagalan kemajuan untuk masyarakat Melayu adalah berpunca daripada dasar yang diperkenalkan UMNO sendiri.

“Yang meraung tidak dapat hak milik tanah yang diusahakan 30 atau 40 tahun ialah orang Melayu. Jadi, Melayu yang macam mana BN tolong?

“UMNO tolong UMNO Baruputra. Ketua eksekutif bergaji RM400 ribu ke atas dan RM1.2 juta sebulan? Malah yang jadi menteri, tahun lepas dapat gaji dan emolumen RM6 hingga RM7 juta. Melayu jenis ini tidak kisah kalau ada orang Melayu susah yang tak dapat hak milik tanah berpuluh tahun, mungkin mereka tak tahu, tak peduli pun apa itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tak tahu perasaan ditimpa bencana alam, tidak ada rasa prihatin terhadap mereka hidup dalam gerobok usang, tidak pernah rasa tertekan untuk sekolahkan anak dan sebagainya,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau berkatanya, hanya satu dasar yang tidak dimonopoli, adil dan tidak mendiskriminasi yang dapat membela orang Melayu.

“Malaysia bukan milik UMNO. Dengan dasar yang adil, bukan hanya orang Melayu yang akan berubah malah semua kaum yang ditindas dasar mereka selama ini,” katanya lagi. -Roketkini.com