Berita

Profesional Malaysia berhijrah serius, DAP saran kerajaan tukar dasar

DAMANSARA, 22 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak perlu bebal dan hairan apabila sekurang-kurangnya 300,000 golongan profesional rakyat negara ini direkodkan bekerja di luar negara akibat pelbagai dasar kerajaan yang tempang.

Penghijrahan golongan profesional negara ke luar negara antara lain akibat pengabaian dasar keadilan sosial dan kekurangan peluang yang wajar bekerja di tanah air sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menyemak semula semua dasar yang dilaksanakan.

“Kami tahu Talent Corp berusaha untuk menarik golongan profesional pulang ke Malaysia tetapi cuma berjaya membawa pulang 680 profesional Malaysia pada 2011,  923 orang pada 2012 dan hanya 502 orang sehingga Jun tahun ini,” jelas beliau.

Bee Yin berkata demikian ketika memberi respon kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Parlimen berkata, sebanyak RM65 juta digunakan dalam usaha menarik golongan itu sejak 2011.

“Kami nak ingatkan menteri, berdasarkan rekod bank dunia, kerajaan perlukan sekitar 300 tahun untuk membawa pulang semua profesional negara ini pulang ke Malaysia.

“Kerajaan perlu atasi masalah ini dengan segera. 300 tahun itu bukan masa yang pendek. Dasar yang adil perlu diketengahkan untuk menarik minat mereka pulang berkhidmat ke Malausia,” kata beliau.-Roketkini.com