Berita

Pulau Pinang bincang langkah jika keadaan jerebu meruncing

970637_656395634390541_270383410_nGEORGE TOWN, 24 JULAI: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membincangkan isu berkaitan masalah jerebu yang kembali melanda negeri itu pada Mesyuarat Majlis Perunding dan Ketenteraman Awam negeri, esok.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri memandang serius keadaan jerebu yang kini kembali melanda Pulau Pinang dengan tahap pemandangan yang kian merosot.

Katanya, meskipun Pulau Pinang belum mencapai paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berbahaya seperti yang melanda Malaysia sebulan lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin meminta rakyat supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan urusan harian mereka khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.

“Kerajaan negeri akan membincangkan isu itu jerebu pada Mesyuarat Majlis Perundingan dan Ketenteraman Awam Negeri Pulau Pinang, esok untuk menggariskan langkah yang perlu diambil sekiranya keadaan jerebu semakin meruncing,” katanya dalam kenyataan akhbar di Komtar, hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga menasihatkan orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air bagi memastikan tahap kesihatan mereka tidak terjejas.

“Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan Malaysia akan lebih bertegas dengan Indonesia dalam menangani isu pembakaran terbuka ini,” katanya.-Roketkini.com