Rencana

Miskin tegar – Retorik, polemik, persepsi atau realiti? Oleh Mahdzir Ibrahim

keadaan dalam rumah (2)

BARU-BARU ini, kami sekumpulan rakan-rakan DAP berkesempatan untuk turun padang dan bersemuka sendiri dengan kelompok yang selama ini kisah mereka hanya banyak didengar daripada mulut dan bacaan.

Kelompok yang dimaksudkan itu adalah golongan miskin tegar yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta anak yatim. Mereka tinggal di bumi Johor yang dikatakan tiang seri UMNO.

Lawatan muhibah itu yang sebenarnya adalah bertemu untuk memberi sumbangan cenderakasih kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.

Kita dapat lihat sendiri keadaan hidup yang lara. Lara yang kita maksudkan sebagai penghidupan yang sukar. Sukar daripada segi kebendaan, pendidikan dan kasih sayang.

Tiga elemen ini amat diperlukan dalam kehidupan manusia, tetapi mereka ini tidak mempunyai hampir ketiga-tiga perkara terbabit.

Pelaksana dasar harus dipersalahkan

Kemiskinan harta benda menjadikan kehidupan warga itu hampir keciciran dalam arus pembangunan sosial. Kesannya pastilah mereka berhadapan dengan kesukaran mendapatkan peluang, kepayahan menambah pendapatan dan akhirnya kesempitan hidup.

Ia memberi kesan kepada aspek pendidikan anak-anak. Maka rantaian kepayahan ini mula berjangkit dan memberi kesan terhadap intelek anak-anak, dan akhirnya generasi warga terbabit mewarisi kemiskinan.

Apabila miskin, maka terpecahlah kesatuan keluarga ini. Anak-anak yang sudah mendewasa mula keluar, niatnya mahu ‘lari’ demi mencari penghidupan yang lebih menjanjikan, namun impian pelarian itu masih sebagai suatu harapan saja. Akhirnya, keluarga warga itu hidup dalam keadaan lara. Namun rata-rata daripada mereka sudah pasrah.

Dalam konteks politik, keadaan ini kita anggap sebagai kegagalan pelaksanaan sistem dan dasar. Maka para pelaksanalah yang harus menerima kritikan.

Dalam amalan politik daulah (baca kerajaan UMNO-/BN) sebagai pelaksana, kepayahan seseorang atau mana-mana kelompok warga ini boleh menjadi ‘permainan’ atau komoditi penting dalam survival politik mereka.

Kita tertanya-tanya mengenai matlamat yang ditetapkan penguasa daulah terdahulu, iaitu agenda membasmi kemiskinan tegar. Tetapi selepas lebih daripada 50 tahun kita merdeka atau lebih tepat lagi selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada 1971, masih ramai lagi warga yang hidupnya sangat miskin.

Adakah semua ini (masalah kemiskinan tegar) menjadi barang dagangan politik oleh daulah? Persoalan ini seakan-akan berniat negative terhadap daulah, ya memang benar.

Politik tabur wang dan janji

Kita menjadi skeptikal dengan daulah kerana dengan adanya golongan miskin tegar ini maka mereka berpeluang bermain dengan politik pembangunan. Politik pembangunan menurut kamus daulah tersebut adalah politik tabur wang dan janji.

Maka setiap kali musim perayaan atau musim pilihan raya, maka golongan miskin tegar ini menjadi dadu permainan politik pembangunan terbabit. Politik sebegini akan bertambah enak lagi apabila disulam dengan politik perkauman. “Kuasa Melayu…hak Melayu..perjuangan tok nenek…ketuanan Melayu”, termasuk dengan menggunakan sentimen yang bersifat keagamaan. Inilah antara ungkapan klise daulah yang dimainkan sejak puluhan tahun.

Hakikatnya, ungkapan ‘keramat’ ini tidak pun terzahir dengan memberi kebahagiaan hidup kepada golongan ini.

Dalam diam atau senyap, pengamal politik sebegini sangat memerlukan warga yang miskin dan tidak pandai untuk memastikan amalan politik tabur wang dan janji dapat dibuat sebagai rutin, demi survival kuasa politik mereka berkekalan.

Dengan ungkapan bahasa yang lebih mudah, daulah sememangnya suka dan membiarkan miskin tegar terus wujud kerana kemiskinan tegar ini akan menjadikan rakyat bergantung kepada mereka.

Janji pembangunan luar bandar abad ke-21 hanyalah ungkapan yang enak didengar, berseri dalam majlis ‘pecah tanah’ dan sebagainya. Tetapi, upacara pecah tanah dan perasmian itu dan ini hanyalah sebuah majlis, bukan usaha kerja hingga selesai. Inilah politik pembangunan daulah.

Secara peribadi, kami sendiri tidak merasakan bahawa bantuan kebajikan yang kami sumbang itu mampu menyelesaikan masalah warga terbabit, memadai ia hanya sebagai ingatan dan tanda kasih kami kepada mereka. Sebaliknya, masalah kemiskinan tegar ini memerlukan lebih upaya dan kegigihan untuk dibasmi. Maka dalam konteks ini, siapalah kami.

Pulau Pinang negeri pertama berjaya basmi miskin tegar

mazir sumbangan

Namun, kini kami semakin yakin bahawa kerja melawan daulah ini adalah kerja penting yang perlu dilaksanakan. Bukan lawan berperang tetapi lawan politik menuntut janji dan keadilan. Bukan juga untuk kami, tetapi untuk basmi kemiskinan tegar.

Sebagai dorongan untuk kami, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang berjaya membasmi kemiskinan tegar. Kerajaan negeri mahu pastikan setiap keluarga mesti memperoleh pendapatan paling minimum RM750 sebulan, dan mereka berjaya dengan program khusus untuk warga miskin tegar ini. Maka dalam konteks negeri Johor, kami yakin dengan izin tuhan, kita boleh lakukan dengan lebih baik lagi.

Dengan menolak daulah sedia ada, kita boleh angkat nilai keadilan, ketelusan dan membasmi rasuah, hanya dengan jalan ini sajalah maka kita akan mampu mengatasi miskin tegar.

Jika ada yang berhujah bahawa “kemiskinan ada di mana-mana, dan orang miskin akan tetap ada kerana itu tuhan menjadikan miskin sebahagian daripada kehidupan manusia”. Percayalah bahawa mereka yang berkata sedemikian adalah mereka yang jahil dan tidak percaya kepada kuasa tuhan.

Mahdzir Ibrahim adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.