Berita

DAP kecam penjelasan Kamalanathan mengenai kos pembelian Chromebook

zairil surauBUKIT BENDERA, 25 JULAI: DAP mengecam kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kalamanathan mengenai kos pembelian Chromebooks yang dibuat kerajaan menerusi syarikat kroni, YTL Corporation.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini berkata, Kalamanathan telah terlepas pandang ‘point’ utama pembelian itu dan mempertahankan pembelian yang terbukti terdapat ketirisan.

“Ia amat malang kerana beliau tidak nampak perkara yang lebih besar dan tidak membuka mata seluas-luasnya dalam permasalahan projek “1BestariNet” itu.

“Dalam wawancara dengan sebuah portal baru-baru ini, Kalamanathan menyatakan pembelian itu efektif dan ‘mengapa perlu bertanya pada dua atau tiga orang? sedangkan projek itu boleh dilaksanakan dengan seorang sahaja.

“Saya ingin tegaskan, saya tidak menentang pembekal yang terbaik untuk memenangi projek itu, cuma saya ingin bertanya adakah pembekal yang menang itu sememangnya terbaik memandangkan skala projek dan berbilion dana awam yang terbabit,” soalnya.

jadual harga chromebook

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan sebelum ini turut mempertikai mengapa kerajaan membeli komputer riba melalui syarikat kroni YTL berharga RM1,255 setiap satu sedangkan harga runcitnya lebih rendah daripada itu.

Beliau juga membidas kontrak kepada YTL untuk membina menara komunikasi jalur lebar berkelajuan tinggi sebagai sebahagian daripada projek ‘1BestariNet’ kerana syarikat itu terbukti menggunakannya untuk mengaut keuntungan tambahan.

“Terdapat konflik kepentingan yang jelas, wang pembayar cukai dan sekolah awam dipaksa untuk membiayai pengembangan projek itu yang kononnya untuk mempromosikan E-Pembelajaran,” ujarnya. -Roketkini.com