Berita

DAP gesa kerajaan bendung salah guna subsidi diesel di Sabah

Hiew kuota dieselKOTA KINABALU, 25 JULAI: DAP mendesak kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung penyeludupan bahan api dan penyalahgunaan subsidi diesel yang semakin berleluasa di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Luyang, Hiew King Cheu berkata, langkah segera perlu diambil jika benar kerajaan mementingkan permasalahan yang dihadapi rakyat berhubung kekurangan diesel.

Menurut beliau, kekurangan dan ketiadaan bekalan diesel semakin teruk di Sabah sehingga kebanyakan stesen minyak terpaksa menggunakan sistem kuota yang menimbulkan kemarahan pengguna.

“Ini bukan kali pertama Sabah menghadapi masalah bahan api diesel. Sehubungan itu saya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Kewangan tampil menyelesaikan masalah itu.

“Kami juga ingin tahu mengapa KPDNKK tidak membenarkan semua stesen minyak memiliki jumlah yang lebih besar? Subsidi minyak kepada syarikat minyak juga perlu diberi dengan cara yang fleksibel bergantung kepada permintaan dan ‘trend’ ekonomi.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu mengenai masalah itu, bukan hanya mendiamkan diri tanpa melakukan semakan dan membetulkan keadaan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sabah dalam kenyataan, hari ini.

KPDNKK sebelum ini menetapkan had kuota untuk stesen minyak dengan mengambil kira jumlah jualan yang diperoleh dan tidak ada sebarang penambahan dibenarkan selepas menggunakan kuota yang diberi.

“Sistem kuota telah membawa masalah kepada pengguna, ada antara mereka yang mengadu kepada bahawa mereka hanya dibenarkan membeli RM30 atau RM50 saja.

“Adakah dengan pembelian RM30 ini cukup untuk pengguna berulang-alik ke Sipitang atau Kota Marudu? Kuota yang diberi terbukti terlalu rendah daripada jumlah sebenar yang diperlukan bagi penjualan dan penggunaan,” tegasnya.

Katanya lagi, faktor lain menyebabkan kekurangan diesel adalah berpunca daripada penyalahgunaan kuasa di mana diesel subsidi dibeli untuk kegunaan industri.

“Daripada yang diperhatikan, terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menjual diesel domestik ini untuk kegunaan industri bagi mendapat keuntungan berganda,” ujarnya. -Roketkini.com