Berita

Tindakan diskriminasi pelajar calar imej sekolah, jejas hubungan pelbagai kaum

tony pua (11)KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kementerian Pendidikan Malaysia digesa bertindak tegas dan menghukum pihak Sekolah Kebangsaan Pristina yang melakukan tindakan tidak cerdik mendiskriminasi pelajar minoriti bukan Muslim agar makan dan minum dalam bilik persalinan sepanjang Ramadhan konon demi ‘menghormati’ pelajar Islam yang berpuasa.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, tindakan itu bukan saja mencalarkan imej sekolah aliran kebangsaan malah memburukkan lagi hubungan antara pelajar pelbagai kaum negara ini dengan pelbagai persepsi negatif banyak pihak.

“Saya berbangga kerana saya adalah pelajar aliran kebangsaan yang gembira bergaul dan belajar di bawah satu bumbung satu ketika dulu biarpun kami berbeza agama dan budaya. Tidak ada isu merepek seperti ini timbul. Tetapi sekarang, semua hanya tinggal nostalgia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, walaupun pihak kementerian berjanji akan mengambil tindakan terhadap perkara itu, ia bukan yang pertama kali dilaporkan berlaku di Malaysia.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah baca banyak laporan termasuk berita mengenai seorang pengetua sekolah di Kedah yang menyuruh murid berketurunan Cina supaya “balik Cina” jika tidak sensitif kepada rakan mereka yang beragama Islam dengan makan di dalam kawasan sekolah pada bulan Ramadhan.

“Kami juga ada mendengar mengenai kes mengarut yang berlaku di sekolah seperti pengharaman pasukan sorak, tarian singa tanpa gendang semasa perayaan Tahun Baru Cina serta pengharaman menyeluruh ke atas kumpulan persahabatan Kristian, apa semua ini?” soal Pua.

Menimbulkan tanda tanya, beliau mempertikaikan adakah dengan cara sebegini negara akan berjaya memupuk perpaduan nasional di kalangan masyarakat seawal zaman persekolahan lagi,

“Tindakan atas nama ‘agama’ ini bukan sahaja akan memberi kesan negatif ke atas pelajar bukan Melayu tetapi juga ke atas pelajar Melayu.

“Kami perlu memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain dengan cara pemahaman dan bukannya dengan cara melulu. Dalam isu ini, orang bukan Islam perlu memahami dan memberi penghormatan kepada orang Islam yang berpuasa dan pada masa yang sama orang Islam juga perlu memahami dan menghormati orang bukan Islam,” katanya.-Roketkini.com