Berita

Rupa-rupanya “meritokrasi” kerajaan BN kurangkan kuota Bukan-Melayu

lks bazar 5KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kini terbongkar rahsia bahawa  sistem “meritokrasi” ciptaan kerajaan Barisan Nasional yang menggantikan sistem kuota pada 2002 adalah lebih buruk kerana ia mengurangkan kadar kemasukan pelajar Bukan-Melayu Cina ke kolej dan universiti awam.

Jika sistem kuota dahulu membolehkan 30% pelajar Cina memasuki kolej dan universiti awam, kini ia hanya tinggal 19%. Malah kadar kemasukan kaum-kaum bukan Melayu yang lain juga turut merosot.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata rahsia ini terbongkar apabila ia didedahkan sendiri oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, yang menggambarkan bahawa “meritokrasi” ala BN sebenarnya “lebih kuota” daripada sistem kuota.

Beliau berkata, Wee telah menyatakan bahawa pengambilan pelajar Cina bagi lapan jurusan utama iaitu perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan elektronik dan elektrikal, kejuruteraan kimia, undang-undang, perakaunan di universiti awam semakin merosot kebelakangan ini, iaitu daripada 26.2% pada 2001 kepada 25.3% pada 2001 dan 20.7% tahun ini.

“Pada Mei 2002, saya telah mengirim satu email mustahak kepada semua Menteri Kabinet, meminta mereka meneliti ketidakadilan yang berlaku dalam sistem pemilihan ke universiti “berasaskan merit”, kerana rumus yang digunakan untuk membandingkan keputusan matrikulasi dan gred STPM adalah “tidak profesional, tidak saksama, dan mencemarkan istilah meritokrasi kerana ia dibuat tanpa sebarang merit profesional,” seperti membandingkan enggang dengan pipit.

“Ketika itu saya berhujah bahawa keputusan STPM tidak sepatutnya dibandingkan dengan keputusan kursus matrikulasi kerana kedua-dua sistem itu berbeza sama sekali dan menggunakan prosedur penilaian berbeza,” kata Kit Siang dalam kenyataan media, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Musa Mohamad (Menteri Pendidikan ketika itu) juga mengesahkan bahawa gred matrikulasi ditentukan berasaskan kerja kursus (30 peratus) dan peperiksaan (70 peratus) berbeza dengan STPM adalah sistem yang teruji, terbuka, dan berpiawaian, lengkap dengan kawalan luaran dan bersekutu dengan Cambridge Local Examinations Syndicate.

Katanya, dalam email yang dikirim 11 tahun lalu itu menggesa Menteri Kabinet “memastikan bahawa sistem meritokrasi yang digunakan untuk pemilihan pelajar ke universiti adalah telus dan profesional.

“Selepas tiga Perdana Menteri, empat Presiden MCA, 12 Menteri MCA, dan selepas lima tahun seorang pemimpin MCA yang menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Pendidikan Tinggi, iaitu dari 2008 hingga 2013, memberitahu bahawa “sistem merit” untuk pengambilan pelajar ke universiti awam yang diperkenalkan pada 2002 pada hakikatnya membawa kepada ketidakadilan dan lebih buruk daripada sistem kuota yang menetapkan nisbah 55:45 untuk pelajar Bumiputera dan Bukan-Bumiputera yang dipakai sejak 1972 hingga 2002.

“Persoalannya, mengapa fakta dan angka itu tidak didedahkan kepada orang ramai walaupun berulang kali tuntutan dikemukakan di dalam dan di luar Parlimen mengapa 12 Menteri MCA dan lebih tiga puluh Timbalan Menteri MCA pada dekad lalu bersekongkol menyembunyikan fakta itu sejak 11 tahun lalu.

“Bagaimana kerajaan UMNO-BN serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hendak mengatasi masalah ketidakadilan itu jika benar-benar serius mengenai dasar 1Malaysia serta untuk meningkatkan tahap pendidikan Malaysia di mata dunia, selain meningkatkan daya saing Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Kit Siang, beliau juga mencadangkan satu penyelesaian 11 tahun lalu, iaitu merombak sistem kemasukan pra-universiti agar menjadi sistem merit yang berasaskan keperluan dan buta-warna kulit di mana 75% tempat diperuntukkan berasaskan merit dan 25% lagi diperuntukkan untuk pelajar yang datang daripada latar sosio-ekonomi yang mundur. – Roketkini.com