Rencana

Makan di tandas dan falsafah ‘paksaan’ Oleh Izmil Amri

1001199_487548347996778_1186895856_nFalsafah pemaksaan tidak wujud dalam Islam. Ini mudah dan jelas. Ramai juga yang sering menggunakan dalil ‘tiada paksaan’ ini apabila bermalas-malasan dalam agama. Tapi itu cerita lain.

Namun pokok pangkal persoalannya mudah: tidak ada paksaan. Tak boleh paksa-paksa, walau dalam apa keadaan sekali pun. Ini prinsip asas yang menjadi dasar Islam.

Masalah akan timbul apabila wujud paksaan. Konsep paksaan, dari segi fizik menghasilkan reaksi. Ini hukum Newton ketiga. Semua orang tahu.

Tidak ada manusia yang suka dipaksa melakukan sesuatu. Ini benar. Cubalah tanya mangsa rogol. Atau mangsa rompakan yang dipaksa memberikan segala kepunyaannya tanpa kerelaan. Ya itu lah dia kondisinya apabila seseorang dipaksa; dia tidak rela.

Ini akar kepada konsep kebebasan dan hak asasi manusia di seluruh dunia. Tidak ada manusia yang wajar dipaksa melakukan sesuatu yang dia tidak rela. Tidak kiralah dalam soal agama, ekonomi atau apa sahaja.

Orang yang dituduh membunuh juga mesti melakukan pembunuhan dengan kerelaan. Jika membunuh kerana dipaksa, maka tak jadi kesalahan membunuh. Kontrak yang mahu dimeterai juga mesti dengan rela hati. Kontrak yang ditandatangani dengan paksa adalah kontrak yang tidak sah dan tidak laku di mahkamah.

Pokoknya mesti rela hati. Tidak boleh paksa. Memaksa itu salah. Titik.

Jadi apabila berlegar di ruang media sosial beberapa keping gambar daripada ibu seorang murid sekolah di Selangor yang memperlihatkan ada anak-anak berbaju sekolah duduk dalam tandas dan sedang makan pada waktu rehat, ini merisaukan.

Dari gambar itu, mereka nampaknya seperti anak-anak bukan Islam yang sedang makan pada waktu rehat. Jadi timbul persoalan; kenapa mereka makan di tandas? Apakah sekolah ini tidak ada kantin? Atau soalan yang lebih mengarut, adakah di sekolah ini; kantin dan tandas perkara yang sama?

Ok, tak kelakar.

Sekolah yang tidak akan saya namakan ini khabarnya telah ‘memerintahkan’ pelajar bukan Islamnya makan di tandas di bulan Ramadan. Kerana apa? Kerana kantin sekolah ini tutup. Bukan sahaja kantin sekolah ini tutup, siap ada pita bahaya di keliling kawasan kantin. Saya tak tahu sebab apa perlu sampai macam tu. Mungkin bangunan kantin itu nak roboh. Saya tak tahu.

Tapi kalau ya pun kantinnya itu mahu roboh, kenapa sampai perlu makan di tandas? Tak ada ruang lain? Bilik guru contohnya. Atau adakah guru pun tidak tahan melihat pelajar makan di bulan Ramadan sehingga harus sungguh-sungguh diasingkan anak-anak ini hatta ke tandas. Apakah justifikasi yang mungkin untuk segregasi tahap demikian dipaksakan ke atas pelajar bukan Islam hanya kerana mereka tidak diwajibkan berpuasa oleh agama mereka pada bulan Ramadan?

Ada banyak alasan yang berlegar di rangkaian sosial tentang kenapa anak-anak ini terpaksa makan di tandas. Antara yang paling menggelikan hati ialah alasan ‘kantin tak muat’. Ini saya lihat sebagai alasan apologetik untuk mempertahankan institusi pendidikan yang dipenuhi manusia-manusia yang berakal cetek. Tidaklah pula saya katakan bahawa semua guru itu tak bijak. Jangan salah faham.

Sebagai sebuah sekolah yang nampak baru, dan pastinya mempunyai kemudahan infrastruktur yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pelajarnya. Jadi jangan bagi alasan bodoh untuk kesilapan yang dibuat secara sedar.

Berbalik kepada akar permasalahan ini, umat Malaysia ini sedang ditimpa malang kerana hidup ditadbir mereka yang punya mentaliti ‘aku ada kuasa, aku boleh buat apa saja aku suka, dan aku boleh paksa siapa saja’. Mentaliti ini mesti dibuang. Mentaliti sebegini adalah kendala dalam usaha besar kita membina negara bangsa yang adil dan saksama.

Soal paksaan tidak seharusnya timbul dalam masyarakat yang terbentuk daripada terurainya sempadan-sempadan perkauman. Meski proses meruntuhkan tembok-tembok rasisme itu masih utuh, usaha kita untuk menggasir sempadan-sempadan ini tidak wajar dikhianati sesetengah pihak yang tegar dalam acuan minda bahawa wujud ‘perpetual war’ antara kaum serta ketuanan kaum tertentu dalam negara ini.

Saya tidak menuduh guru besar sekolah terbabit sebagai seorang yang rasis atau cuba mewujudkan kasta sosial dan pecah belah di sekolahnya, jauh sekali. Tetapi jika benar kerajaan ini ikhlas membawa agenda dan gagasan kesamarataan dan kesaksamaan dalam slogan-slogan 1Malaysianya itu; implementasi agenda ini tidak sewajarnya dibuat seperti melepaskan batuk di tangga.

Insiden pelajar bukan Islam dipaksa makan di tandas ini adalah indikator besar betapa gagalnya konsep perpaduan kaum difahami oleh warga tenaga pengajar sendiri. Jika bukan buta konsep pun, sekurang-kurangnya akal waras akan dapat digunakan untuk memberitahu diri bahawa keputusan memaksa pelajar makan di tandas ini salah.

Pemaksaan terhadap orang bukan Islam di kala bulan Ramadan kian menjadi masalah besar yang tidak sewajarnya jadi masalah. Apalah lemahnya iman umat ini sehingga begitu mudah tergoda dan tersinggung apabila orang bukan Islam makan di depan orang Islam yang berpuasa?

Benar, adalah perlu bagi semua pihak menyatakan perkara sebenar dan merungkaikan kekeliruan yang ada. Semua soalan perlu dijawab.

Tapi apa yang lebih penting daripada menyelesaikan isu makan di tandas ini ialah isu pemaksaan budaya dan kefahaman terhadap pihak-pihak yang tidak perlu.

Adalah malang bagi Malaysia jika bangsa ini hanya mahu dibina berasaskan acuan yang dipaksakan. Apalah lagi yang ada pada roh dan semangat kebebasan yang terangkum di dalam Perlembagaan Persekutuan jika pemaksaan dan penafian hak memilih menjadi kelaziman.

Bukankah Islam itu bukan agama paksaan? – Roketkini.com