Berita

Selangor syarat 30 peratus wanita sebagai ahli majlis PBT mulai 2014

Teng Chang Khim-IMG_6390SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor mensyaratkan kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus ahli majlis di kalangan wanita untuk penggal akan datang.

Ia merupakan satu kriteria yang diperlukan pada pemilihan ahli majlis PBT yang akan bermula pada 1 Januari 2014.

Selain itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Teng Chang Khim berkata, tempoh perkhidmatan ahli majlis juga tidak boleh melebihi empat tahun atau dua penggal berturut-turut.

Menurut beliau, antara syarat minimum adalah mesti berumur 21 tahun ke atas dan memiliki kelayakan minimum akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan menetap sekurang-kurangnya lima tahun dalam kawasan PBT berkenaan.

“Pembahagian kuota juga hendaklah 75 peratus merupakan calon daripada parti politik, manakala 25 peratus daripada calon pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Calon NGO hendaklah daripada organisasi berdaftar dan namanya hendaklah dicadangkan oleh organisasi berkenaan,” katanya yang juga ADUN DAP Sungai Pinang pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam. -Roketkini.com