Rencana

Ramadan: Ramai yang masih hidup sengsara Oleh Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

tengku zul 2RAMADAN bukan sahaja muncul sebagai bulan ibadah bagi umat Islam seluruh dunia. Kemunculan bulan mulia ini mengesahkan bahawa masih ramai rakyat negara ini yang  hidup menderita, miskin papa kedana, terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup, apa lagi dengan kenaikan kos sara hidup yang seolah-olah tidak akan berakhir.

Lihat sahaja pelbagai program bantuan kepada fakir miskin, anak yatim, masyarakat gelandangan yang dijalankan pada bulan Ramadan, ini membuktikan apa?

Ramadan wajar menjadi pembuka hijab bagi sekalian kita yang masih hidup dalam penafian, Malaysia masih dihuni sebahagian besar rakyatnya terutama di kampung yang hidup dalam keadaan dhaif. Maka, sudah barang tentu laungan kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar masih jauh untuk mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Slogan hanya tinggal slogan, orang yang miskin terus miskin.

Saya mengambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk melakukan ziarah ke Kampung Tingkat, Mentakab untuk menyelami hati dan kepayahan hidup yang dilalui penduduk di sini di samping menghulurkan sedikit sumbangan kebajikan.

Hati saya sangat tersentuh apabila melawat ke sebuah rumah yang didiami lapan beranak yang hidup menumpang di rumah saudara. Katanya mereka tiada kemampuan untuk memiliki rumah sendiri. Ada pula yang hidup menyewa di rumah usang dengan tanggungan lima anak, ibu tua yang mengidap parkinson dan keluarga yang hanya hidup mengambil upah menoreh getah. Mereka ini adalah kalangan orang Melayu dan Islam yang terpinggir. Bukan sehari dua, malah sejak sekian lamanya.

Ini adalah realiti perit. Bagaimanapun, ada yang sinikal berkata kehidupan mereka adalah takdir dan mereka perlu redha dan hanya berserah. Jika begini cara berfikir kita. Lantas, untuk apa tujuan segala agensi dan badan kebajikan ditubuhkan?

Saya tidak menafikan sumbangan yang diberi badan kebajikan itu kepada golongan miskin dan memerlukan. Persoalan besarnya ialah adakah bantuan yang diberi itu memadai dan wajar.

Bayangkan dengan kos kehidupan yang tinggi, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) hanya menerima bantuan sara hidup kira-kira RM360 sebulan. Begitu juga buat ibu bapa miskin yang menyekolahkan anak mereka. Setiap anak hanya diberi bantuan RM100 sebulan.

Saya tertanya-tanya, mana perginya suara ‘pendekar Melayu’ yang konon mahu membela nasib bangsa? Adakah dengan membuat perarakan melaungkan ‘Hidup Melayu’ di sana sini mampu mengubah nasib anak bangsa? Adakah dengan membuat desakan yang menekan kaum lain mampu merubah kehidupan bangsa?

Dasar BN gagal

tengku zulKerajaan Barisan Nasional (BN) sering mendabik dada dengan pelbagai pelan dan dasar transformasi. Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya dikatakan sebagai benteng bagi umat Melayu untuk bersaing secara sihat, dapat duduk dan berdiri sama rendah dengan kaum lain. Ia berjaya menunjukkan kesan positif pada peringkat awal hingga satu ketika dasar yang tujuan asal demi status ekonomi masyarakat Melayu telah dikhianati pemimpin Melayu sendiri, pemimpin UMNO.

DEB akhirnya gagal apabila kekayaan negara diagih secara berpilih (diskriminasi) dan monopoli membabitkan kroni pemerintah, maka peluang yang sama tidak mampu diraih oleh mereka yang mungkin lebih layak. Dalam congakan mudah, bila mana kek ekonomi berlegar hanya di sekitar kumpulan tertentu, ia tidak dapat dikongsi dengan yang lain.

Saya ingin memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri dalam laporan Utusan Malaysia 29 Mac 2010 yang berkata “data yang ada menunjukkan orang Melayu dan kaum bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain terutama dalam penguasaan ekonomi’.

“DEB mensasarkan sekurang-kurangnya orang Melayu menguasai 30 peratus ekonomi, tetapi sampai hari ini sasaran itu gagal dicapai. Sedangkan penguasaan ekonomi bukan Melayu khususnya kaum Cina meningkat begitu ketara,”

Mungkin ada yang keliru mengenai kemiskinan dan monopoli ini. Bila tidak wujud monopoli baik dalam bidang perniagaan, pemberian bantuan, pengagihan tanah dan sebagainya, maka lebih ramai rakyat negara ini akan menikmati hasil kekayaan negara bersama. Ia sekaligus mampu meningkatkan peluang pekerjaan, peluang mendapat lebihan pendapatan dan perniagaan, peluang kepada kerajaan untuk mengurangkan kos kehidupan dengan penurunan harga barang keperluan dan sebagainya.

Justeru, sudah tentu segala dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu mengambilkira semua faktor ini, kecuali, ia sengaja dilaksanakan secara tidak adil agar lebih ramai kalangan masyarakat hidup dengan bergantung harap pada kerajaan dan akhirnya kemiskinan akan dijadikan modal untuk meraih undi.-Roketkini.com
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang