Berita

RM6.7 juta setahun dana awam diguna bayar penyelaras Parlimen BN

vsivakumarBATU GAJAH, 26 JULAI: Hampir RM6.7 juta setahun dana awam dibazirkan semata-mata untuk membayar gaji Penyelaras Parlimen lantikan politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar, berkata bayaran itu dibuat kepada semua penyelaras kawasan Parlimen yang tidak dimenangi mereka.

“Penyelaras Parlimen itu adalah pelantikan politik, jawatan itu bukannya di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.

Menurut beliau, pembayaran gaji kepada penyelaras Parlimen BN ini jelas adalah satu salah guna kuasa Kementerian Kewangan.

“Wang kutipan cukai daripada rakyat digunakan untuk tujuan politik BN sedangkan penyelaras kawasan itu hanya menganjurkan program politik untuk BN,” jelas Siva.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak menjadi kesalahan jika parti politik melantik Penyelaras Parlimen mereka tetapi gaji harus dibayar menggunakan dana parti masing-masing.

“Yang menjadi kesalahan apabila gaji mereka itu dibayar menggunakan dana awam atau duit pembayar cukai,” jelasnya.

Berdasarkan jawapan yang diperoleh di Dewan Rakyat, Siva berkata, sebelum 1 Jun 2012, gaji yang dibayar kepada Penyelaras Parlimen BN itu ialah RM5,680 sebulan.

Pada 13 Ogos 2012 pula,  kadar gaji itu dinaikkan kepada RM6,265 sebulan berkuatkuasa pada 1 Jun 2012.

“Ini bermakna kerajaan terpaksa membayar gaji kepada semua 89 Penyelaras ¬†Parlimen di kawasan yang BN tewas berjumlah RM557,585 sebulan dan dalam masa setahun, jumlah gaji yang dibayar berjumlah RM6,69 juta dan jika dalam lima tahun, beban kerajaan untuk membayar gaji ialah RM33,45 juta,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata, adalah amat wajar jika kerajaan menghentikan pembayaran gaji Penyelaras Parlimen BN ini menggunakan dana awam.

“Kalau nak bayar, gunalah wang parti. Bukannya dengan wang kerajaan,” ujar beliau.-Roketkini.com