Berita

Majlis buka puasa jalin kemesraan antara kaum

ADUN terataiCHERAS, 1 OGOS: DAP mengorak langkah ke hadapan apabila semakin ramai golongan belia tidak lagi terbelenggu dengan pelbagai dongeng bahawa DAP parti anti Melayu dan Islam sebaliknya mampu menjalinkan kerjasama erat dalam pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan.

Hubungan baik itu diterjemahkan dengan program berbuka puasa dan sesi ramah mesra anjuran Persatuan Belia Teratai (TYA) membabitkan sekurang-kurangnya 40 ahli persatuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai, Tiew Way Keng, Ahli Majlis MPAJ Zon 23, Mohamad Samad dan Ketua Pemuda DAP Selangor, Chua Yew Choong bertempat di Restoran Cerana Cheras, baru-baru ini.

Pengerusi TYA, Mohd Nizam Abdul Rahman, berkata TYA ditubuhkan secara rasmi pada 2008 sebagai satu daripada wadah bagi golongan belia untuk bergiat aktif dengan masyarakat dan pada masa yang sama dilatih untuk menguruskan organisasi.

“ADUN sangat membantu kami sejak dulu lagi, dan ADUN baru, Tiew Way Keng kami nampak respon beliau kepada persatuan sangat baik. Jadi dengan sokongan yang ada, kami akan gunakan untuk pembangunan belia kawasan ini,” jelasnya.

Antara aktiviti yang pernah dijalankan TYA sebelum ini ialah program kepimpinan seperti mengadakan kursus pengurusan organisasi, aktiviti sukan, gotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, surau, sekolah termasuk aktiviti luar seperti mendaki dan sebagainya.

Gembira dengan sokongan yang diberi, ADUN DAP Teratai, Tiew Way Keng berkata, sesi berbuka puasa dan ramah mesra ini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

“Kata orang, kalau tak jumpa kita tak kenal, bila berjumpa kita akan lebih memahami. Bagi saya, kami menyokong mana-mana persatuan belia yang boleh berikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat sekeliling.

“Dan DAP khususnya merasakan inilah masa sesuai kita dapat lebih memahami dan memberi lebih kefahaman mengenai politik kepada golongan belia lebih-lebih lagi mengenai DAP yang selama ini diburuk-burukkan media kawalan UMNO-BN,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda DAP Selangor, Chua Yew Choong, program itu memberi peluang untuk saling bertukar pandangan dengan pemuda terutama di kawasan Teratai.

“Ia secara langsung dapat menarik lebih ramai golongan muda terutamanya orang Melayu mengenali parti DAP secara lebih dekat.

“Pertemuan sebegini sangat penting sebab daripada pandangan orang luar, DAP merupakan sebuah ‘parti Cina’, dengan pertemuan ini, Pemuda DAP harap lebih ramai pemuda, orang Melayu berpeluang sama-sama berkongsi pendapat sebab bermula daripada itu kita akan saling mengenali dan mahu golongan belia tahu siapa sebenarnya DAP, prinsip, ideologi parti dan sebagainya,” kata beliau.-Roketkini.com