Berita

Lampu limpah di USJ2 berjaya kurangkan jenayah – Hannah Yeoh

Hannah TrioKELANA JAYA, 1 OGOS: Pemasangan lampu limpah di kawasan letak kereta taman perumahan USJ2, di sini sejak Mac lalu berjaya mengurangkan kejadian jenayah di kawasan itu.

Adun DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, kemudahan itu disediakan demi kebaikan penduduk yang sering mengadu kejadian jenayah kerap berlaku kerana keadaan gelap tanpa lampu limpah.

Katanya, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor memperuntukkan RM20,510 untuk pemasangan lampu limpah itu.

“Penduduk di sini pernah menahan suspek yang terbabit dalam kejadian jenayah ketika kawasan ini gelap.

“Di sini terdapat dewan orang ramai, kabin rukun tetangga USJ2 dan USJ6 serta Masjid Al-Mukminun, jadi kawasan letak kereta itu memang kerap digunakan,” katanya kepada media selepas lawatan ke kawasan itu, hari ini.

Projek pemasangan itu sudah dimulakan dari 22 Februari hingga 13 Mac lalu menggunakan sebahagian peruntukan RM500,000 yang disalurkan Kerajaan PR Selangor untuk penambahbaikan infrastruktur di Subang Jaya.

Hannah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor berkata, pelbagai projek dirancang adalah mengikut cadangan dikemukakan pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Menurutnya, pembinaan dua wakaf bernilai RM20,240 turut dilakukan di Subang Jaya untuk kegunaan penduduk bagi menggantikan wakaf sedia ada yang terpaksa dirobohkan berikutan terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

Nazir Masjid Al Mukminun, Zainal Abidin Zakarian menyatakan kawasan letak kereta itu memang memerlukan lampu limpah supaya keadaannya menjadi lebih terang dan memberi keselamatan kepada penduduk.

“Sebelum ini kerap berlaku beberapa kejadian tidak diingini yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk terutama pada waktu malam.

“Jadi pemasangan lampu ini memang berguna dan memberi kebaikan kepada semua pihak,” katanya.-Roketkini.com