Berita

MCA, Gerakan, MIC patut keluar BN: Guan Eng

1017497_662051800491591_1190470400_nKUALA LUMPUR, 1 OGOS: MCA, Gerakan dan MIC disaran keluar daripada menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) Selangor bagi membuktikan keikhlasan mereka supaya tidak dikaitkan dengan pemimpin yang dianggap ‘gila’ seperti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mahu Guneswari, ibu kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek dalam kenyataannya juga memanggil Noh sebagai ‘gila’ apabila mahu Guneswari disiasat mengikut Akta Hasutan kerana mendedah gambar kantin sementara di bilik mandi itu sedangkan MCA masih bekerjasama dengan UMNO di Selangor.

Beliau berkata, selagi MCA, Gerakan dan MIC bekerjasama dengan UMNO dan berada dalam BN Selangor di mana Noh sebagai Pengerusinya, sebarang kritikan mengatakan Noh ‘gila’ hanya satu lagi pementasan drama atau wayang kulit yang akan dilupakan dalam masa seminggu.

“Ini memperlihatkan bahawa parti komponen BN tidak berkongsi sebarang nilai kerana mereka adalah parti politik perkauman yang mewakili satu kaum sahaja. Namun parti politik perkauman mono-etnik yang mengasingkan kaum lain masih boleh bekerjasama dalam BN kerana mereka mempunyai objektif yang sama dalam membiarkan rasuah, salah guna kuasa dan kapitalisme kroni.

“Keengganan MCA menerima permohonan maaf Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah di Shah Alam kerana menyuruh pelajarnya balik ke negara asal masing-masing (India atau China) dan seruan supaya beliau didakwa atas kesalahan menghasut tidak akan diambil serius masyarakat Malaysia, terutamanya UMNO,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, terdapat perselisihan samada pengetua itu turut menyuruh pelajar Melayu ‘balik Indonesia’ memandangkan ia tidak didengar pelajar bukan Melayu.

Bagaimanapun, katanya, jika menyuruh pelajar balik ke Indonesia bukan justfikasi yang betul untuk turut menyuruh pelajar lain balik ke India atau China, tidak perlu menegakkan benang yang basah.

“Ini bukan pertama kali kata-kata berbaur perkauman melampau digunakan mana-mana pengetua terhadap pelajar bukan Melayu. Kegagalan Kementerian Pendidikan bertindak terhadap pengetua yang bersifat perkauman sejak dulu hanya tambah membenarkan satu tabiat yang tidak sihat untuk terus berleluasa.

“Di mana semangat 1Malaysia di sekolah dan kenapa pula ibu bapa bukan Melayu mahu dipersalahkan apabila mereka tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah menengah kerajaan apabila masih wujud golongan pendidik yang bersifat perkauman,” katanya.-Roketkini.com