Berita

Muhyiddin harus dipersalahkan mengenai jurang perkauman di Malaysia

lks bazar 5KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dipersalahkan mengenai jurang perkauman di negara ini kerana beliau sendiri menjadi satu daripada punca, bukannya penyelesai kepada kebimbangan itu.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Muhyiddin perlu meminta maaf kerana melatah dengan menyalahkan sikap tidak peduli terhadap sensitiviti Islam dan muslim yang ditunjukkan oleh bukan Islam berikutan kontroversi terbaru berkaitan video sepanjang 1.44 minit.

Katanya, dua hari lalu, Muhyidin meluahkan kebimbangan mengenai jurang perkauman di negara ini kerana tidak ada persefahaman dan pengertian mendalam tentang keharmonian berasaskan agama dan kaum di negara ini

“Perkara itu paling jelas dapat dilihat apabila Muhyiddin kelmarin mengecam sikap tidak peduli sebahagian pihak terhadap sensitiviti Islam dan muslim yang menurutnya boleh menimbulkan kekacauan dan perpecahan di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Muhyiddin juga hairan mengapa sesetengah pihak bersungguh-sungguh hendak memperlekehkan Islam dan muslim, adakah ini manifestasi dan tanggapan sesetengah pihak bahawa kita lemah, mudah diperkotak-katikan atau tidak tegas dan berani bertindak ke atas perkara yang mencemarkan kesucian agama Islam atau sengaja mereka ini orang yang bodoh dan tidak faham nilai agama dan kehormatan kepada agama lain.

Menurut Muhyiddin, penganut Islam tidak mempersendakan agama Kristian, Hindu dan sebagainya yang merujuk kepada viedo berkenaan yang menunjukkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya berjalan berhampiran masjid ketika takbir raya sedang berkumandang.

Muhyiddin mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk mencegah perkara sedemikian berulang dan berharap “gejala buruk menghina agama Islam yang sedang melanda negara ini tidak sampai ke tahap tercetusnya situasi kacau-bilau seperti yang berlaku di sesetengah negara Islam.

Menurut Muhyiddin, Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah, makmur, dan rakyatnya boleh menjalankan kegiatan harian dalam keadaan tenteram, justeru itu, rakyat tidak sepatutnya memandang secara sambil lewa keadaan aman dan harmoni yang ada sekarang.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Muhyiddin harus meminta maaf kerana mengutuk video itu tanpa menyelidik faktanya.

“Pembuat video sepanjang 1.44 minit itu, Maznah Mohd Yusof, lebih dikenali sebagai Chetz, telah tampil menafikan video itu bertujuan menghina agamanya sendiri iaitu Islam dan menyatakan beliau tidak berniat untuk menghina Islam, pada awalnya membuat video itu hanya untuk suka-suka tetapi kemudiannya memutuskan untuk ‘mendidik’ orang ramai tentang anjing dan kebersihan.” (The Malay Mail Online).

Manakala kepada Malaysiakini, beliau berkata: “Saya sayangkan agama saya. Saya fikir orang ramai perlu belajar mengenai agama mereka terlebih dahulu dan tidak salah mentafsir video saya yang dibuat tiga tahun lalu.

“Agama saya mengajar tentang kepentingan kebersihan… kerana itu dalam video ini saya membersihkan diri saya sendiri dan anjing saya.”

Menurut Kit Siang, semua pemimpin, khususnya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan pemimpin semua parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan jurang perkauman dan keagamaan di negara ini tidak menjadi semakin lebar.

Katanya, mampukah Muhyiddin memainkan peranan dalam proses pembinaan negara ini, tetapi mesti menunjukkan dirinya sebagai TPM untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya untuk UMNO.

“Muhyiddin perlu meletakkan sifatnya sebagai warga Malaysia pada kedudukan lebih utama daripada sifatnya sebagai seorang Melayu, bukan seperti yang diisytiharnya ketika Datuk Seri Najib Razak melancarkan dasar 1Malaysia empat tahun lalu,” tambahnya.- Roketkini.com