Berita

Kementerian Pendidikan dicabar umum senarai gred pelajar berjaya ke IPTA

teo nie ching

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: DAP mencabar Kementerian Pendidikan mengeluarkan senarai gred pelajar yang diterima masuk ke universiti awam untuk membuktikan ia telus dan adil.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, ia akan membantu memulihkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap kementerian serta sistem pendidikan negara.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes 39 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 tetapi tidak mendapat tempat di universiti awam.

“Jika benar 39 pelajar terbabit tidak mendapat tempat di universiti awam kerana kursus yang dipilih sudah penuh dan ada di antara mereka yang tidak memenuhi syarat seperti yang didakwa, kementerian perlu segera menyiarkan gred pelajar yang diterima masuk dalam kursus itu.

“Ini untuk membolehkan kita mengetahui pelajar yang sudah dipilih mempunyai gred yang lebih baik berbanding 39 pelajar itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Kulai berkata, bagi menangani isu yang tidak pernah selesai saban tahun itu, kementerian harus mengeluar dan menyiarkan gred pelajar yang diterima masuh ke universiti awam.

“Jika benar ada pelajar yang lebih cemerlang daripada 39 pelajar terbabit, saya kira tidak menjadi masalah, mereka juga pasti memahaminya.

“Namun, untuk mencapai CGPA 4.0 bukan mudah, mereka perlu belajar bersungguh-sungguh tapi akhirnya tidak berjaya mendapat kursus impian mereka kerana ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan negara,” ujarnya.

Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa hanya satu peratus (atau 39 daripada 3,584 pelajar) mendapat CGPA 4.0 gagal mendapat tempat di universiti awam bagi pengambilan 2013/14. -Roketkini.com