Berita

DAP desak kerajaan hadkan jumlah wang diambil daripada Petronas

bee yinPETALING JAYA, 5 OGOS: DAP menggesa kerajaan menghadkan jumlah wang yang diambil daripada Petronas kerana amalan itu membawa kesan negatif kepada negara.

Strategis Sosial Media DAP, Yeo Bee Yin berkata, Kedudukan negatif Petronas pada penarafan hutang berdasarkan penilaian Fitch Rating baru-baru ini membuktikan kerajaan perlu berhenti daripada terus menggunakan syarikat minyak negara itu sebagai ‘Piggy Bank’.

“Walaupun Petronas berjaya mengekalkan profil kredit, namun pengaruh kerajaan ke atas aliran tunai, dasar dan strategi kewangan nampaknya memberi kesan penarafan kredit seperti yang dinyatakan Fitch,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bee Yin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama berkata, pada masa sekarang nisbah pembayaran dividen Petronas oleh kerajaan tidak dihadkan.

“Kerajaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai berapa banyak harus mereka ambil daripada Petronas setiap tahun.

“Sehingga kini, lebih 50 peratus daripada keuntungan bersih Petronas dibayar sebagai dividen kepada kerajaan, jauh melebihi purata 38 peratus yang dibayar syarikat minyak nasional di seluruh dunia.

“Apabila pembayaran dividen yang tinggi, aliran tunai selepas pelaburan berkurang, ia menurunkan keupayaan Petronas sekaligus menjejaskan kedudukannya dalam penilaian Fitch,” katanya.

Khamis lalu, penilaian Fitch menunjukkan unjuran kredit Malaysia berubah daripada stabil ke negatif berikutan kelemahan kewangan awam selepas Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13).

“Apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, bermakna pembayaran dividen tinggi Petronas ke dalam pelaburan yang kurang dalam aktiviti cari gali minyak untuk mengekalkan nisbah penggantian rizab adalah penting agar dapat memastikan kelangsungan hidup jangka panjang sebuah syarikat minyak dan gas.

“Sekiranya Petronas tidak mempunyai rizab tunai yang mencukupi, ia perlu kembali kepada pasaran kredit untuk mengumpul dana.

“Kadar faedah yang lebih tinggi seterusnya akan meningkatkan kos pembiayaan Petronas,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan perlu menimbang semula cadangan 2011 oleh Petronas untuk menghadkan nisbah pembayaran dividen supaya ia mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk melabur semula dalam cari gali minyak dan gas.

“Di samping itu, terdapat keperluan bagi pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 supaya Parlimen bertanggungjawab ke atas Petronas, bukan hanya Perdana Menteri.

“Ini sangat penting terutamanya dalam keadaan ekonomi tidak baik, apabila pembayaran dividen mungkin perlu dinaikkan untuk menyelamat atau merangsang pertumbuhan ekonomi supaya dapat memberi faedah keseluruhan kepada negara,” tegasnya.

Bee Yin menegaskan langkah itu perlu agar negara dapat mengelak daripada terpaksa menyelamatkan pihak berkepentingan, contohnya seperti Bank Bumiputera pada 1985 dan 1991 serta Konsortium Perkapalan Berhad ketika krisis kewangan 1997.-Roketkini.com