Berita

DAP tempelak logik akal Menteri Dalam Negeri

1012104_686113944739392_1359663820_nGEORGE TOWN, 12 OGOS: Dalam usaha kerajaan Barisan Nasional untuk menghidupkan semula undang-undang seakan Ordinan Darurat yang membenarkan penahanan tanpa bicara, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa seramai 260,000 orang penjenayah sedang bergerak bebas dalam negara.

Menurut Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, dalam kenyataan medianya hari ini, sekiranya dakwaan itu beul, kerajaan wajar mendapatkan bantuan Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu.

Menempelak anggaran yang dibuat-buat oleh Zahid Hamidi, Guan Eng berkata bahawa bilangan penjenayah yang sebegini ramai amat mengejutkan kerana ia jauh melampaui bilangan jumlah anggota polis seramai 112,583 serta pasukan angkatan tentera seramai 124,000 orang.

“Jika benarlah dakwaan Zahid Hamidi bahawa terdapat 260,000 penjenayah bebas di jalanan negara, maka usaha menghidupkan semula undang-undang seakan-akan Ordinan Darurat tidak akan membantu polis,

“Malah Angkatan Tentera Malaysia bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus membantu pihak polis menghadapi ketumbukan 260,000 orang penjenayah ini,” selorohnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau lagi, angka yang didatangkan oleh Menteri Dalam Negeri ini sangat mengejutkan; malah kiraannya dalam menganggar bilangan penjenayah bukan sekadar berasaskan syak malah dibesar-besarkan secara melampau.

Guan Eng mengulas kenyataan Zahid dalam wawancara kepada akhbar mingguan milik UMNO, Mingguan Malaysia tentang peningkatan kadar jenayah akhir-akhir ini yang menurut Menteri tersebut diakibatkan oleh pembebasan tahanan-tahanan Ordinan Darurat pada tahun 2011.

Namun demikian persoalannya kini menurut Ahli Parlimen Bagan itu adalah sama ada kerajaan bertindak adil terhadap kekuatan anggota polis terlatih negara ini yang berjumlah 112,583 orang namun hanya sembilan peratus sahaja kekuatan anggota polis difokuskan untuk memerangi jenayah.

Jelas beliau dari jumlah bilangan anggota polis, hanya 10,150 sahaja anggota ditempatkan untuk memerangi jenayah dan selebihnya ditugaskan kepada urusan yang tidak penting seperti memantau wakil-wakil rakyat oposisi.

“Rakyat menuntut supaya Ahmad Zahid menambahkan bilangan anggota polis yang menentang jenayah dan membuat rondaan sehingga 50% daripada jumlah keseluruhan anggota, atau 56,000 orang; demi memastikan tugas tersebut dapat dilakukan dengan sebaik mungkin,” tambahnya. – Roketkini.com