Berita

DAP kesal sikap KPN enggan terima cadangan tangani jenayah

1009827_10151536559300911_1775640330_nKUALA LUMPUR, 13 OGOS: DAP kesal dengan sikap kepimpinan polis yang pasif kepada penyelesaian memerangi jenayah dan langsung tidak mempedulikan saranan agar masalah jenayah diatasi segera.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong berkata, kualiti penyiasatan dan kehadiran polis di setiap tempat adalah dua elemen paling penting dalam membanteras jenayah, namun sehingga sekarang masih belum ada unit polis yang mencukupi.

“Penyelesaian kepada kejadian jenayah yang semakin berleluasa kebelakangan ini sebenarnya boleh diatasi, banyak cara boleh digunakan tapi kepimpinan tertinggi polis itu sendiri ternyata tidak bersedia untuk mendengar langkah yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan mencadangkan agar lebih ramai kakitangan Pasukan Gerakan Am (PGA) separuh daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat dan ditugas di jalanan untuk membanteras jenayah.

Chin Tong berkata, untuk memastikan kualiti penyiasatan, negara memerlukan Jabatan Siasatan Jenayah yang lebih kukuh dan tidak hanya menggunakan pasukan Cawangan Khas (SB) untuk mengintip ahli politik saja.

Pandangan Chin Tong itu berikutan perbualannya dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman sosial, Twitter baru-baru ini yang mana Khalid mendakwa semua jabatan polis sudah dikerah untuk membanteras jenayah.

Khalid dalam perbualan itu turut menyarankan supaya mengadakan lawatan dan menemui ketua polis tempatan untuk membiasakan diri dengan peranan yang dimainkan FRU, PGA dan SB.

“Jawapan serta respon Khalid itu pada pandangan saya kurang sopan. Ia adalah satu kenyataan yang sangat angkuh daripada seorang KPN dengan menganggap ahli politik dan pengkritik yang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan polis sekarang adalah jahil, kurang kesedaran umum dan kurang pengetahuan,” katanya sambil menambah beliau telah berjumpa ketua polis tempatan di kawasannya sebaik sahaja dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Chin Tong juga menyatakan beliau akan membuat surat rasmi untuk menemui dan membincangkan keutamaan seberapa segera.

Isu jenayah di jalanan kini berada dalam keadaan yang amat kritikal dengan pembunuhan dan kejadian tembakan terbuka ditempat awam semakin berleluasa, seperti yang berlaku pada Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan dan Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi bulan lalu. – Roketkini.com