Berita

DAP Gelang Patah anjur dialog bersama Orang Asal

IMG_7545JOHOR BAHRU, 15 OGOS: Sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia, DAP akan menganjurkan dialog awam pada 17 Ogos ini bersama Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Yusri Ahon.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Pasukan Bertindak Gerakan Impian Malaysia DAP Gelang Patah, Marcus Sew Yu Xuan berkata, program dialog itu bertujuan memberi platform kepada Orang Asal supaya suara dan masalah mereka didengar, ditangani serta dapan mengukuhkan lagi kehidupan mereka.

“Kampung Simpang Arang, Gelang Patah dipilih untuk mengadakan dialog itu kerana kampung itu adalah perkampungan tradisional Orang Seletar atau lebih dikenali sebagai Orang Laut.

“Mereka adalah peneroka asal kampung, namun kini secara perlahan tanah mereka diceroboh dan dirampas tanpa diberi sebarang pampasan sekaligus menyebabkan sumber pendapatan mereka merosot secara mendadak akibat rampasan atas nama pembangunan.

“Saban hari mereka ditindas di tanah dan tempat yang mereka sendiri terokai,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Biro Teknologi Hijau dan Alam Sekitar DAPSY Kebangsaan berkata, dalam kes Orang Asal di Kampung Simpang Arang, sebahagian daripada tanah yang mereka duduki diwartakan mengikut Akta Orang Asli sebagai tanah rizab namun ia tidak dipedulikan pemaju demi mengaut keuntungan.

“Tanah yang diwartakan itu meliputi kira-kira 500 ekar, namun asas sumber tradisional mereka atau wilayah adat meliputi kawasan yang lebih besar termasuk kawasan perairan pantai.

“Rampasan di atas tanah rizab itu menyebabkan mereka tidak boleh tidur malam kerana berada dalam ketakutan jikalau dengan tiba-tiba tanah pusaka mereka diambil dan dipaksa berpindah ke tempat lain.

“Sumber pendapatan mereka iaitu memancing juga diancam oleh pencemaran daripada kilang berdekatan dan ini menjejaskan kehidupan harian mereka,” ujarnya. – Roketkini.com