Berita

DAP kecam sikap kerajaan, polis pandang remeh keganasan rumah tangga

suami pukul isteri dalam lifBUKIT MERTAJAM, 15 OGOS: DAP mengecam sikap kerajaan dan pihak polis yang memandang remeh kes keganasan rumah tangga apabila menganggapnya sebagai masalah peribadi dan polis tidak diberi mandat untuk mencampurinya.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan itu membuktikan sistem kekeluargaan negara lemah yang amat ketara dalam mengendalikan kes keganasan rumah tangga.

Menurutnya, mengikut jawapan yang diberi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim pada sidang Parlimen lalu, jumlah kes keganasan rumah tangga meningkat setiap tahun sejak 2010.

“Dalam tempoh 10 tahun antara 2002 dan 2012, kes seperti itu meningkat 27 peratus. Apa yang menyedihkan, daripada keseluruhan kes keganasan rumah tangga 2010-2012, hanya kira-kira 8.22 peratus atau hanya 817 kes daripada 9,938 kes saja yang disabitkan kesalahan.

“Mangsa kes itu kebiasaannya menderita dalam senyap kerana hubungan kekeluargaan. Atas alasan menutup malu keluarga, maka keselamatan dan penderitaan mangsa sering diketepikan dan jika mangsa akhirnya tampil ke hadapan untuk membuat laporan polis, beliau seringkali terpaksa menghadapi pegawai polis yang tidak sensitif atau lebih teruk lagi, pegawai membuat penilaian moral terpesong terhadap beliau.

“Ini jelas menunjukkan kelemahan dalam sistem kekeluargaan negara, sekaligus menyebabkan proses mangsa untuk mencari keadilan semakin sukar dan sulit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam ucapan Parlimen Julai lalu, Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan menggesa Rohani mengkaji pindaan terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memudah permohonan dan penguatkuasaan Perintah Perlindungan Interim (IPO).

Katanya, pasukan polis juga perlu diberi latihan khas bagi mengendalikan kes jenayah terhadap mangsa wanita yang selalunya memerlukan sensitiviti tinggi.

“Kerajaan dan polis perlu sedar bahawa keganasan rumah tangga bukan satu masalah peribadi dalam keluarga semata-mata, ia adalah kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman,” ujarnya.

Laporan portal Malaysiakini sebelum ini mendedahkan mengenai dua kes keganasan terhadap rumah tangga, satu di Bukit Mertajam dan satu lagi di Seremban. (http://www.malaysiakini.com/news/238271).

Menurut laporan itu, saudara kepada seorang daripada mangsa menyatakan bahawa polis enggan mengambil tindakan kerana tiada kesan kecederaan dan mereka tetap menganggap kes itu sebagai satu pertelingkahan rumah tangga.

“Sedihnya, polis memandang ringan terhadap laporan yang dibuat kerana menganggapnya sebagai ‘masalah rumah tangga semata-mata’ dan mangsa seringkali dinafikan permohonan IPO.

“Sebagai contoh, baru-baru ini, seorang mangsa keganasan rumah tangga di Bukit Mertajam, Lai Siew Fong meninggal dunia kerana kecederaan serius akibat dibakar selepas satu ‘pertelingkahan rumah tangga’.

“Mendiang juga sudah beberapa kali membuat laporan polis kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan pernah memohon IPO tetapi gagal,” kesalnya. -Roketkini.com