Berita

DAPSY kutuk pembunuhan rakyat Mesir, desak segera kembalikan keamanan -Teo Kok Seong

teo kok seong 1KUALA LUMPUR, 16 OGOS: DAP menggesa kerajaan, Pakatan Rakyat serta badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat mengutuk keganasan yang mengakibatkan pembunuhan ribuan rakyat Mesir.

Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, kesan rampasan kuasa yang mengenepikan prinsip demokrasi di Mesir menyebabkan ramai nyawa rakyat terkorban, baik di pihak penyokong bekas Presiden Mohammed Morsi atau pihak yang memprotes kepimpinannya.

“Kami Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) atas nama kemanusiaan dan semangat demokrasi dengan tegas mengutuk keganasan tentera Mesir ke atas demonstran yang semuanya adalah rakyat awam Mesir.

“Kami juga menyeru pihak bertanggungjawab menghentikan keganasan terhadap penduduk awam dan segera menyiasat kejadian itu demi menegakkan keamanan dan keadilan.

“Kami percaya rusuhan dan keganasan termasuk rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dilantik secara sah di sisi undang-undang bukan cara terbaik dan demokratik. Atas sebab itu maka kami mendesak kerajaan sementara Mesir segera membebaskan Morsi demi mententeramkan rusuhan penyokongnya serta segera melaksanakan proses perundingan yang lebih demokratik dan diplomasi,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Rasah dalam kenyataan, hari ini.

Kok Seong turut mendesak kerajaan sementara Mesir segera memulihkan keadaan di sana dan memohon agar pelajar Malaysia dipindahkan ke tempat yang menjamin keselamatan mereka.

“Kerajaan sementara Mesir harus segera memulihkan keamanan serta melaksanakan proses keadilan dan pemulihan demokrasi di Mesir seberapa segera.

“Kerajaan Malaysia juga hendaklah segera memindahkan penuntut kita di Mesir demi memastikan keselamatan mereka di sana,” tegasnya.

Rampasan kuasa oleh tentera Mesir Julai lalu kini menyebabkan lebih banyak protes rakyat terhadap regim tentera.

Terbaru, menurut laporan Kementerian Kesihatan Mesir, seramai 525 penduduk awam terbunuh dan 3,700 orang lagi cedera dalam satu siri bantahan yang mana ia menjadi medan keganasan pihak tentera di Kaherah. Kini pihak berkuasa di Mesir mengisytiharkan perintah darurat selama sebulan di seluruh negara. -Roketkini.com