Berita

DAP tinjau masalah keluarga hidup melarat

keluarga nazarudin sham_2777 (1)KLUANG, 19 OGOS: Keperitan hidup yang dialami sebuah keluarga miskin lima beranak di kawasan kejiranan Yap Tau Sah, Kluang mendapat simpati pemimpin DAP yang meninjau sendiri masalah dihadapi keluarga terbabit.

Kemiskinan yang menimpa keluarga Nazarudin Sham bersama lima anak itu tidak mendapat perhatian mana-mana agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendapatan hanya dengan mengambil upah menjual pisang goreng dan apam balik sudah pasti sukar bagi keluarga itu menanggung perbelanjaan harian yang semakin meningkat tambahan terpaksa merawat anak bongsu yang menghidap penyakit kencing manis tahap kronik.

Bagaimanapun sempena Aidilfitri yang mulia ini, DAP pada 16 Ogos lalu mengambil inisiatif menemui keluarga Nazarudin Sham yang tinggal di No 58, Jalan Sawi, Yap Tau Sah, Kluang, untuk meninjau sendiri masalah yang dihadapi keluarga terbabit serta mengusahakan bantuan untuk mereka

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim berkata, kes itu akan dirujuk ke pejabat DAP Parlimen Kluang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol untuk tindakan lanjut.

sumbangan hari raya-2805“Kami sangat simpati dengan kemiskinan hidup yang dihadapi keluarga Nazarudin Sham yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kini terpaksa menanggung kos rawatan anak bongsu mereka, Abdul Rahman, 12, yang mengidap penyakit kencing manis tahap kronik kira-kira RM300 sebulan.

“Kami juga akan membawa masalah keluarga itu ke Parlimen Kluang dan DUN Mengkibol untuk diselesaikan serta bagi meringankan beban mereka,” kata Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong itu dalam kenyataannya, hari ini.

Selain Abdul Rahman, Nazarudin Sham juga menanggung empat lagi anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Pada masa sama, Mahdzir turut menyampaikan sedikit sumbangan hari raya kepada keluarga Nazarudin agar dapat meringankan beban dipikulnya. -Roketkini.com