Berita

Dakwa empat aktivis alam sekitar bukti kerajaan BN pentingkan syarikat swasta

Ariff Sabri 2RAUB, 20 OGOS: DAP menganggap tindakan kerajaan mendakwa empat aktivis alam sekitar menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 berikutan Himpunan Hijau Raub pada September tahun lalu sebagai satu tindakan tidak wajar dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas tindakan itu, Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata himpunan hijau yang dijalankan itu bukan satu himpunan haram malah aman dan mendapat permit.

“Tuduhan berarak yang didakwa juga tidak betul. Raub Gold Mine mungkir janji kerana tidak datang untuk menerima memorandum daripada penganjur dan penduduk setempat,” ujar beliau.

Mohd Ariff Sabri juga mahu pendakwaan yang dibuat ke atas dua lagi peserta yang membawa anak mereka dinilai secara adil dan mempertikai sikap kerajaan yang sayangkan syarikat asing yang mengusahakan perlombongan emas itu.

“Ketika perhimpunan berlangsung polis dan pihak berkuasa membuat kawalan, tetapi tidak menghalang orang yang bawa anak menyertai himpunan itu atau sengaja dibiarkan,” soalnya.

Empat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Raub hari ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Perlombongan Emas Anti-Sianida, Wong Kin Hoong dan Timbalan Ketua Bahagian PAS Raub, Tengku Shahadan Tengku Jaafar.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana terbabit dalam perarakan himpunan hijau dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.

Manakala Liew Chee Cheong dan Chan Lai Yoong, pula didakwa kerana membawa kanak-kanak dan jika didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM3,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tras, Chong Siew Onn berkata, dakwaan itu sengaja dibuat untuk menakut-nakutkan orang awam menyertai perhimpunan aman.

“Saya anggap ini satu konspirasi politik untuk menakutkan orang ramai. Jika kita lihat perhimpunan itu aman, tidak ada satu pokok atau satu rumput pun kena cabut,” katanya.

Justeru itu, beliau yang juga Setiausaha DAP Negeri Pahang mahu agar keadilan diberikan terhadap semua mereka yang didakwa.

“Buat masa ini, kami akan memberi bantuan perundangan kepada mereka dan selepas ini akan kukuhkan lagi hubungan NGO alam sekitar serta Pakatan Rakyat (PR) untuk memperjuangkan alam sekitar,” ujarnya.-Roketkini.com