Berita

Polis didesak jelas kes tembakan melulu Pua Bee Chun

gobindKLANG, 19 OGOS: DAP mengecam tindakan polis yang lepas tangan dan enggan membuat penjelasan berhubung kejadian tembakan menyebabkan kematian Pua Bee Chun, 22, di Jalan Bendahara, Taman Sentosa, Klang, 18 Januari lalu.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata, adalah tidak masuk akal apabila polis enggan memberitahu mengapa anggota melepaskan tembakan melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Apa yang dipertikaikan mengapa pihak polis begitu sukar memberitahu bahawa individu yang melepaskan tembakan adalah pegawai mereka sendiri dan mengapa susah sangat butir kejadian serta status siasatan diberikan.

“Suami mangsa, Foo Voon Kong, 27, pagi tadi telah memfailkan saman terhadap polis agar identiti penembak isterinya dan status siasatan kes itu diketahui.

“Keadaan ini jelas melambangkan kegagalan sistem keadilan jenayah yang akhirnya akan terus menghakis keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Voon Kong hari ini diwakili peguamnya yang juga Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago memfailkan saman terhadap polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya pihak berkuasa mendedahkan siasatan kematian isterinya.

Dalam kejadian pada 18 Januari lalu, Bee Chun dipercayai mati ditembak sebanyak 24 kali daripada belakang ketika berada di dalam sebuah kereta dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Sehubungan itu, Gobind yang juga Ahli Parlimen DAP Puchong meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk campur tangan dan mengarahkan polis menyediakan butir seperti yang diminta.

“Peguam Negara perlu mengambil kira persepsi yang diwujudkan dalam keadaan seperti itu, di mana polis enggan bekerjasama dengan orang ramai apabila aduan dibuat kepada mereka dan ini bertentangan dengan usaha yang dilakukan kerajaan untuk meningkatkan imej polis daripada segi urusan dengan masyarakat awam,” ujarnya.

Katanya lagi, kini terpulang kepada Voon Kong untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah menembak isterinya.

“Voon Kong semestinya mahu mendapatkan keadilan untuk isterinya dan ia tidak harus menjadi faktor yang menghalang polis daripada memberi kerjasama dengan menyediakan maklumat asas.

“Keengganan polis pada fikiran saya adalah tidak betul daripada sisi undang-undang dan moral kerana kes seperti itu jika tidak ditangani akan mengakibatkan kepercayaan orang ramai terhadap polis semakin terhakis. Laporan dibuat tetapi tidak membantu, masalah sebaliknya menjadi semakin sukar,” tegasnya. -Roketkini.com